Nabi Yusuf bijak tafsir mimpi
11:32 PM
By
Ahmad Iskandaraniy
Kisah Nabi / Rasul
0
comments
NABI Yusuf adalah anak Nabi Yaakub, sangat disayangi bapanya kerana mempunyai akhlak yang baik. Disebabkan Yaakub melebihkan kasih sayang terhadap Yusuf, saudaranya yang lain berasa cemburu, sehingga menimbulkan kebencian di dalam hati mereka.
Pada satu hari, anak-anak Nabi Yusuf berkumpul, mereka membincangkan mengenai sikap bapanya yang didakwa tidak adil. Dalam mesyuarat itu, mereka tidak menjemput Bunyamin, kerana dia saudara sekandung dengan Yusuf. Keputusan dicapai untuk membuang Yusuf di satu tempat yang jauh.
Mereka meminta izin bapanya supaya Yusuf dibenarkan pergi ke tempat itu. Mulanya permintaan itu tidak diizinkan, tetapi kerana desakan Yaakub terpaksa akur dan membenarkannya. Mereka mengajak Yusuf pergi ke tempat itu dan tiba di sana, Yusuf dimasukkan ke dalam perigi.
Selepas itu mereka pulang dan menghadap Yaakub, sambil berkata: “Wahai bapa, ketika kami bermain dengan Yusuf di satu tempat tiba-tiba datang seekor serigala dan memakan Yusuf. Kamu sekali-kali tidak akan percaya kepada kami, walaupun kami orang yang benar.”
Yusuf ditinggalkan di dalam perigi. Sejurus kemudian satu rombongan musafir dari Madyan yang dalam perjalanan ke Mesir singgah di perigi itu. Ketika mengambil air dari perigi itu mereka mendapati seorang kanak-kanak berpaut pada timba. Kemudian seorang musafir itu berkata: “Betapa gembiranya kita, mendapat seorang kanak-kanak sangat cantik.”
Selepas itu Yusuf dibawa musafir berkenaan ke Mesir. Tiba di sana dia dijual kepada seorang pembesar, kemudian dijadikannya Yusuf anak angkat.
Dia dijaga pembesar itu dengan baik. Isteri pembesar itu, Siti Zulaikha
cukup mengasihi Yusuf, tidak ubah seperti anak sendiri.
Nabi Yusuf dibesarkan dalam keluarga Siti Zulaikha dan ketika dewasa dia kelihatan bertambah tampan dan segak sehingga menarik hati bagi mereka yang memandangnya. Siti Zulaikha yang selama ini menjaga dan membesarkannya, turut jatuh hati dengan ketampanannya itu.
Satu ketika, Siti Zulaikha memujuk Yusuf supaya bersamanya. Pintu bilik ketika itu sudah ditutup. Tetapi Yusuf tidak mengikuti kehendak Siti Zulaikha, malah dibukanya pintu dan terus melarikan diri. Siti Zulaikha mengejar dan menarik bajunya sehingga terkoyak.
Kemudian suami Siti Zulaikha pulang ke rumah. Dia terkejut apabila diberitahu isterinya mengenai kejadian itu. Siti Zulaikha berkata kepada suaminya: “Bagaimana balasannya terhadap orang melakukan kejahatan kepada isterimu?”
Suaminya berkata: “Orang itu perlu dimasukkan ke dalam penjara dan dikenakan seksaan yang pedih dengan segera.”
Mendengar jawapan dari suami Siti Zulaikha itu (pembesar), Nabi Yusuf tidak mendiamkan diri. Dia cuba membela diri dengan berkata: “Dia yang memujuk aku.”
Perkara ini diceritakan dalam al-Quran: “Yusuf berkata: Dia menggodaku untuk menundukkan diriku kepadanya. Seorang saksi dari keluarga wanita itu memberikan kesaksiannya. Jika bajunya terkoyak di depan, wanita itu benar dan Yusuf berdusta. Jika bajunya terkoyak di belakang wanita itu berdusta, manakala Yusuf orang benar.”
Selepas itu suaminya mengetahui perkara sebenar. Siti Zulaikha mengundang rakannya untuk menikmati jamuan di rumah. Ketika semua tetamu asyik dengan makanan, disuruh Siti Zulaikha supaya Yusuf keluar kepada tetamu. Melihat keadaan Yusuf yang tampan itu, semua tetamu terkejut.
Disebabkan terpesona melihat ketampanan Yusuf, mereka terhiris tangan masing-masing, menggunakan pisau yang sepatutnya untuk memotong buahan.
Tidak lama selepas itu, Yusuf dimasukkan ke penjara.
Nabi Yusuf pandai mentafsir mimpi menunjukkan anugerah Allah kepada hamba-Nya. Kepandaian Nabi Yusuf dalam mentafsir mimpi diketahui Raja Mesir dan dia dipanggil menghadap untuk tujuan itu. Ceritanya diterangkan di dalam al-Quran:
“Raja berkata kepada orang-orang terkemuka daripada kaumnya; sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor sapi betina gemuk, tujuh ekor sapi betina kurus dan tujuh tangkai gandum hijau serta tujuh tangkai lain yang kering.
Wahai orang-orang terkemuka terangkanlah kepadaku mengenai erti mimpiku itu jika kamu dapat mentafsirkan mimpi. Mereka berkata; itu adalah mimpi yang kacau dan kami sekali-kali tidak mahu mentadbirkan mimpi seperti itu.
“Manakala Yusuf berkata: Mimpi itu supaya kamu bercucuk tanam selama tujuh tahun seperti biasa, apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkainya, melainkan sedikit untuk kamu makan.”
Kemudian, datang tujuh tahun yang amat sukar, musim kemarau menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapi tahun sukar, melainkan sedikit daripada gandum yang kamu simpan. Kemudian akan datang tahun yang manusia diberi hujan dengan cukup dan pada masa itu mereka memerah anggur.”
Berkata Yusuf: “Jadikanlah aku bendahara Mesir, kerana aku orang yang pandai menjaga lagi berpengetahuan.” Demikianlah kami memberikan kedudukan kepada Yusuf di Mesir, dia berkuasa penuh di mana saja dia kehendaki di bumi itu. Kami melimpahkan rahmat Kami kepada siapa yang kami kehendaki dan Kami tidak mensia-siakan pahala orang berbuat baik.”
Selepas tujuh tahun Nabi Yusuf memegang tugas kerajaan itu, musim kemarau,
kering dan kelaparan berlaku seperti yang ditafsirkannya.
Bagaimanapun, kerajaan Mesir mempunyai bekalan makanan untuk menghadapi musim kebuluran itu, sehingga penduduk di negeri jiran mengunjungi Mesir untuk mendapatkan bantuan. Antara mereka yang datang meminta bantuan itu termasuk 10 saudara lelaki Yusuf dari Kan’an. Mereka disambut dengan baik.
Yusuf turut bertanya khabar keadaan bapa mereka sekeluarga, malah berpesan supaya turut membawa saudara kandungnya, Bunyamin untuk mengambil makanan di Mesir. Apabila pulang ke Kan’an, saudara Yusuf menghadap bapa mereka, Yaakub dan meminta kebenaran untuk membawa Bunyamin ke Mesir.
Selepas mendapatkan makanan semua saudara Yusuf, termasuk Bunyamin mahu pulang ke Kan’an, tetapi belum sempat sampai di Kan’an, mereka ditahan penguasa Yusuf. Namun, selepas disiasat semua yang lain dilepas, cuma Bunyamin ditahan.
Tiba di rumah, diceritakan peristiwa penahanan itu kepada bapa mereka. Yaakub amat sedih hingga penglihatannya menjadi kabur.
Namun, selepas itu mereka menunjukkan baju Yusuf kepada Yaakub, lalu segera diciumnya. Matanya yang tidak dapat melihat tiba-tiba sembuh.
Mereka menceritakan semua peristiwa yang berlaku sepanjang berkunjung ke Mesir dan berjumpa dengan Yusuf, membuatkan Yaakub begitu gembira.
Kemudian Nabi Yaakub mengajak anak-anaknya pergi ke Mesir untuk berjumpa dengan Yusuf dan Bunyamin.
0 comments: