KAUM YANG MEMBELA ISLAM DI AKHIR ZAMAN
9:26 AM
By
Ahmad Iskandaraniy
Tafsir al-quran
0
comments
بسم الله الرحمن الرحيم
salam ketenangan
Surah Muhammad ayat 37: bermaksud: "Nah! kamulah orang-orang yang diajak membelanjakan harta pada jalan Allah, tetapi ada antara kamu orang-orang yang bakhil, sedangkan barangsiapa yang bakhil, maka tidaklah ia bakhil melainkan terhadap dirinya sendiri, dan Allah itu kaya (tidak perlu kepada kamu), tetapi kamulah yang miskin (memerlukan kepadanya) dan jika kamu berpaling (dari agama Allah)akan Allah gantikan satu kaum yang lain dri kamu, kemudian mereka tidak jadi seperti kamu".[1]
Dan surah Jumaah ayat 3 bermaksud:"Dan golongan yang lain dari mereka yang belum bertalian dengan mereka kerana ia (Allah ) yang amat gagah dan bijaksana."[2]
Periwayatan-periwayatan tersebut dinukilkan dari kitab-kitab tafsir:
1. Tafsir ibnu Katsir:
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Jarir dari Abu Hurairah r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah membaca ayat:"Dan jika kamu berpaling, akan Allah gantikan dengan satu kaum yang lain dari kamu kemudian mereka tidak jadi seperti kamu", lantas para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! siapakah mereka itu yang jika kami berpaling akan menggantikan kami kemudian tidak jadi seperti kami?, Ia (Abu Hurairah r.a.) berkata: maka baginda telah menepuk dengan tangannya ke atas bahu Salman Al-Farisi r.a. kemudian bersabda: inilah dan dari kaumnyalah!, dan kalaulah agama berada di bintang Suria sekalipun nescaya akan pergi mengambilnya oleh lelaki-lelaki daripada bangsa Farsi".[3]
2. Tafsir Ad-Durrul Mantsur:
Imam As-Suyuthi menukilkan riwayat yang dikeluarkan oleh Abdul Razak, Abd bin Hamid, At-Tarmizi, Ibnu Jarir, Ibnu Abi Hatim, At-Thabari di dalam Al-Ausadh, Al-Baihaqi di dalam Ad-Dalail daripada Abu Hurairah r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah membaca ayat ini:""Dan jika kamu berpaling, akan Allah gantikan dengan satu kaum yang lain dari kamu kemudian mereka tidak jadi seperti kamu", maka sahabat pun telah bertanya: Wahai Rasulullah!, siapakah mereka itu yang jika kami berpaling akan menggantikan kami kemudian tidak jadi seperti kami?. Maka Rasulullah s.a.w. telah menepuk di atas bahu Salman kemudian bersabda: Inilah dan (daripada )kaumnyalah!, demi jiwaku di dalam genggamannya jikalau iman terpacak di bintang Suria sekalipun nescaya akan pergi menjangkaunya oleh lelaki daripada bangsa Farsi".[4]
3. Tafsir Al-Kasyaf:
Dinukilkan oleh Az-Zamakhsyari di dalam tafsirnya mengenai ayat tersebut: bahawa ditanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai kaum (yang dimaksudkan ) dan adalah ketika itu Salman berada disisi Rasulullah s.a.w., maka baginda telah menepuk pahanya ( Salman r.a.) sambil bersabda: Inilah dan dari kaumnyalah !, Demi jiwaku di dalam genggamannya jikalau iman terpacak di bintang suria sekali pun nescaya akan pergi menjangkaunya oleh bangsa Farsi" .[5]
Dikeluarkan juga oleh At-Tarmizi, Ibnu Hibban, At-Thabari, Ibnu Abi Hatim dan lain-lain lagi melalui jalan Al-'Alaq bin Abdul Rahman daripada Abu Hurairah r.a. dan terdapat beberapa pengriwayatan yang lain baginya dan selain daripadanya.
4. Tafsir Majma Ul-Bayan:
At-thabrasi menukilkan satu riwayat yang sanadnya dari Abu Hurairah r.a. menyebut bahawa sekumpulan manusia daripada para sahabat Rasulullah s.a.w. telah bertanya: Wahai Rasulullah!, siapakah mereka yang telah disebut oleh Allah s.w.t. di dalam kitabnya, dan ketika itu Salman berada di sisi Rasulullah s.a.w. maka baginda menepuk tangannya ke atas paha Salman. Lantas Baginda bersabda: Inilah dan (daripada ) kaumnyalah !. Demi diriku di dalam genggamannya, jikalau Iman terpacak di bintang suria sekalipun nescaya akan pergi menjangkaunya oleh lelaki- lelaki dari bangsa Farsi"[6]
Pengriwayatan ayat-ayat tersebut yang dikeluarkan dari kitab-kitab hadis:
1. Sahih Bukhari:
Diriwayatkan oleh Abdul Aziz bin Abdullah dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. yang mengatakan bahawa kami telah duduk di sisi Rasulullah s.a.w. maka turunkanlah kepada baginda ayat Al-Jumuah:"Dan golongan lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka", Abu Hurairah telah berkata: Aku telah bertanya:Siapakah mereka itu wahai Rasulullah!, Baginda tidak menjawab sehingga diulangi sampai tiga kali, dan pada waktu itu ada bersama kami Salman Al-Farisi, kemudian Rasulullah s.a.w. telah meletakkan tangannya ke atas Salman dan bersabda: Walaupun iman berada di sisi bintang suria nescaya akan menjangkaunya lelaki-lelaki dari kalangan mereka itu"[7]
2. Sahih Muslim:
Diriwayatkan oleh Qutaibah bin Said dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. yang mengatakan bahawa kami telah duduk di sisi Rasulullah s.a.w. tiba-tiba turun ke atas Baginda surah Al-Jumuah, maka sewaktu baginda membaca: "Dan golongan yang lain dari mereka yang belum bertalian dengan mereka", Abu Hurairah telah berkata: siapakah mereka itu wahai Rasulullah!, maka Nabi s.a.w. tidak menjawabnya sehingga diulangi sekali lagi, dua kali ataupun tiga kali, Abu Hurairah r.a. meneruskan riwayatnya: dan ada bersama-sama kami Salman Al-Farisi, maka Rasulullah s.a.w. telah meletakkan tangannya ke atas Salman Al-Farisi kemudian baginda bersabda: Jikalau iman berada di bintang suria sekalipun nescaya akan pergi menjangkau oleh lelaki-lelaki daripada mereka itu". [8]
3. Jamiut At-Tarmizi:
Diriwayatkan oleh Ali bin Hujur dengan sanadnya melalui Al-Alak bin Abdul Rahman daripada bapanya daripada Abu Hurairah r.a. yang mengatakan bahawa salah seorang sahabat telah bertanya: Wahai Rasulullah!, siapakah mereka itu yang Allah sebutkan jika kami berpaling satu kaum yang lain akan menggantikan kami kemudian tidak akan jadi seperti kami. Abu Hurairah telah berkata:"Dan adalah Salman Berada di sisi Rasulullah s.a.w.. Ia (Abu Hurairah ) seterusnya menyebutkan: Maka Rasulullah s.a.w. menepuk bahu Salman dan bersabda: Inilah dan sahabat-sahabatnyalah. Demi jiwaku didalam genggamannya, jika iman itu terpacak di bintang Suria sekalipun nescaya akan pergi menjangkau oleh lelaki-lelaki dari bangsa Farsi".[10]
Diriwayatkan oleh Ali bin Hujur dengan sanadny lain dari Abu Hurairah r.a. yang mengatakan adalah kami berada di sisi Rasulullah s.a.w.. Sewaktu Turun surah Al-Jumuah maka baginda telah membacanya, maka apabila sampai pada ayat:"Dan golongan yang lain dari mereka yang belum bertalian dengan mereka". Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: Wahai Rasulullah siapakah mereka yang belum betalian dengan kami, maka baginda tidak menjawabnya. Abu Hurairah berkata: "Dan Salman berada bersama kami, Seterusnya Abu Hurairah r.a. berkata:Maka Rasulullah meletakkan tangannya ke atas Salman, lantas bersabda: Demi jiwaku di dalam genggamannya jika adalah iman berada di bintang suria sekalipun nescaya akan pergi menjangkaunya oleh lelaki-lelaki dari kalangan mereka". [11]
Imam Ahmad di dalam musnadnya mengeluarkan hadis-hadis yang sama melalui berbagai jalan periwayatan [12]sepertimana yang terdapat di dalam periwayatan-periwayatan di atas.
[1] Surah Muhammad, ayat 38.
[2] Surah Al-Jumuah, Ayat 3
[3] Ibnu Katsir, jil 4, ms 182
[4] Sila rujuk tafsir tersebut bagi tafsiran ayat berkenaan
[5] Sila rujuk tafsir tersebut bagi tafsiran ayat berkenaan
[6] Tafsir Majma Ul-Bayan, jil 5, ms 108
[7] Sahih Bukhari, kitab UT-Tafsir, jil 5, ms 108.
[8] Sahih Muslim, Bab Fadhailul As-Sahabah,, jil 2, ms 312, cetakan India.
[9] At-Tarmizi, jil 2, ms 164.
[10] At-Tarmizi, jil 2, ms 158.
[11] At-Tarmizi, jil 2, ms 164.
[12] Musnad Ahmad Ibnu Hanbal, jil 2, ms 297, 420,
0 comments: