Allah limpahkan rezeki Ilyas
6:29 PM
By
Ahmad Iskandaraniy
Kisah Nabi / Rasul
0
comments
Nabi Ilyas, seorang daripada keturunan Nabi Harun. Diutuskan Allah kepada satu kaum daripada Bani Israel yang berada dalam kesesatan kerana mereka menyekutukan Allah dengan menyembah patung dan berhala bernama Ba’al.
Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya Ilyas benar-benar termasuk seorang rasul. Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya; mengapa kamu tidak bertakwa kepada Allah? Patutkah kamu menyembah Ba’al dan kamu tinggalkan sebaik-baik pencipta, iaitu Allah Tuhanmu, Tuhan bapa-bapamu yang terdahulu.”
Bagaimanapun, kaum Bani Israel tidak mempedulikan nasihat nabi itu. Mereka meneruskan perbuatan salah itu, malah dengan riak dan sombong mahu membunuh Ilyas pula, sehingga menyebabkan beliau terpaksa menyembunyikan diri.
Ilyas menjadikan rumah kosong di kawasan sunyi untuk bersembunyi. Satu hari, ketika memasuki sebuah rumah untuk bersembunyi, beliau menemui seorang kanak-kanak lelaki, lalu diambilnya kanak-kanak itu dijadikan anak angkat.
Kanak-kanak itu sebenarnya Ilyasa bin Akhtab bin Ayuz. Ilyas yang menjadikannya anak angkat sering membawanya ke mana saja, sehingga Allah mengurniakan keberkatan kepada mereka.
Misalnya Allah menganugerahkan rezeki yang melimpah kepada Ilyas, dengan makanan terus terhidang di mana saja beliau singgah untuk bersembunyi.
Anugerah yang luar biasa itu berlaku apabila Ilyasa sudah dewasa.
Keadaan itu menyebabkan orang Bani Israel yang sentiasa memburu Ilyas dapat menghidu kedatangannya. Seorang daripada mereka berkata: “Tentu rumah ini sudah dimasuki Ilyas.”
Walaupun nasihat dan amaran diberikan, kaumnya langsung tidak mendengarnya, malah terus memburunya. Mereka terus menyembah berhala sehingga Allah menurunkan azab, iaitu kemarau yang panjang mengakibatkan semua kawasan tandus.
Hujan tidak diturunkan beberapa tahun, mengakibatkan kebun dan ladang mereka kering, ternakan mati bergelimpangan kerana tiada makanan sehingga mereka mengalami kesukaran untuk mendapatkan makanan dan minuman.
Disebabkan tidak tahan dengan kesengsaraan itu, mereka mengambil keputusan untuk menemui IIyas dengan cara baik. Mereka mahu meminta Ilyas berdoa kepada Allah, supaya diturunkan hujan, sekali gus mengembalikan semula kesuburan di kawasan itu.
Bagi memastikan Ilyas melakukan permintaan itu, seterusnya ia diterima Allah, mereka berjanji mahu mengikuti ajaran Ilyas, beriman kepada Allah dan meninggalkan penyembahan berhala.
Ternyata doa Nabi Ilyas diterima dan Allah terus menurunkan hujan, sehingga kawasan yang tandus tadi bertukar menjadi subur dan mereka dapat menjalani kehidupan dalam kemakmuran seperti dulu.
Namun, lama-kelamaan janji itu dilupai dan akhirnya Allah lenyap dalam hati mereka. Mereka kembali dengan amalan sebelum ini, iaitu menyembah berhala, malah kali ini mereka bertambah kerap melakukan penyembahan itu.
Memandangkan nikmat yang dikurniakan dibalas dengan perbuatan syirik menyekutukan-Nya, Allah menurunkan azab sekali lagi dan ia adalah azab terakhir, sehingga semua kalangan mereka hancur binasa. Bagaimanapun, Nabi Ilyas dan Ilyasa terkecuali daripada azab itu kerana mereka berdua beriman dan berbakti kepada Allah.
Bagi Nabi Ilyasa, kisahnya agak berlainan sedikit, kerana tidak mendapat tentangan daripada kaumnya, malah mereka patuh kepada ajarannya dan beriman kepada Taurat, yang menyeru kepada mengesakan Allah.
Beliau diangkat menjadi rasul ketika dewasa. Kerasulannya disebut al-Quran bersama beberapa rasul sebelumnya. Firman Allah bermaksud: “Dan Ismail, Ilyasa, Yunus dan Lut, masing-masing Kami lebihkan darjatnya atas umat pada masanya.”
Sewaktu hayat Nabi Ilyasa, umatnya memang patuh kepada segala ajaran supaya beriman kepada Allah, dengan mengikuti nasihat yang terkandung dalam Taurat tanpa banyak soal, tetapi selepas kewafatannya keadaan berlaku sebaliknya.
Umatnya terus membelakangkan kitab Taurat, menyebabkan mereka berada dalam kesesatan, sehingga melakukan penderhakaan terhadap Allah. Perbuatan mereka yang salah itu dibalas Allah dengan azab, iaitu menarik segala nikmat yang dikecapi mereka selama ini.
0 comments: