Showing posts with label Hadis Dan Huraian. Show all posts

Wednesday, July 7, 2010

Hadis : Asal Usul Azan

Hadis :
Dari Abdullah bin Umar katanya:”Adalah kaum muslimin ketika baru sampai di kota Madinah, berkumpul menunggu waktu sembahyang kerana belum ada cara untuk memberitahu. Pada suatu hari mereka itu bermesyuarat tentang cara pemberitahuan waktu; ada yang mengatakan supaya menggunakan loceng seperti Nasrani dan ada pula yang mengatakan supaya menggunakan trompet seperti Yahudi. Maka berkata Umar bin al-Khattab r.a:” Bukankah lebih baik menyuruh seseorang meneriakkan atau memberitahukan waktu sembahyang?” Bersabda Rasulullah s.a.w:”Hai Bilal, pergilah dan ajaklah orang-orang bersembahyang.” (Muslim)

Huraian:
Ketika orang-orang Islam masih sedikit jumlahnya, kesulitan tidak timbul untuk mereka berkumpul bersama-sama bagi menunaikan solat secara berjemaah. Namun semakin hari semakin banyak bilangan orang-orang Islam sehingga timbullah masalah untuk memanggil atau mengingatkan mereka untuk menunaikan solat pada waktunya. Al maklum setiap orang mempunyai potensi terhadap kealpaan ataupun kelalaian pada diri masing-masing disebabkan oleh berbagai-bagai urusan kehidupan yang dijalani mereka. Oleh sebab itu wujudlah mesyuarat yang membincangkan tentang keperluan bagaimana cara yang harus dilakukan untuk mengingat dan memanggil semua orang untuk solat tepat pada waktunya. 

Ada banyak cadangan yang diusulkan seperti yang diceritakan di dalam hadis. Salah satu daripada usul itu datang dari Umar r.a yang mencadangkan agar ditunjuk seseorang yang bertindak sebagai pemanggil kaum Muslim untuk solat pada setiap masuknya waktu solat. Saranan ini kebanyakannya dipersetujui oleh semua orang, termasuk Rasulullah s.a.w. memandangkan banyak cadangan-cadangan yang lain lebih mirip kepada kaum kafir. 

Namun yang menjadi persoalannya kini ialah bagaimana perlaksanaannya? Abu Dawud mengisahkan bahawa Abdullah bin Zaid r.a meriwayatkan :"Ketika cara memanggil kaum Muslimin untuk solat dimusyawarahkan, suatu malam dalam tidur aku bermimpi melihat ada seseorang sedang memegang sebuah loceng. Aku dekati orang itu dan bertanya kepadanya apakah ia ada maksud hendak menjual loceng itu. Jika memang begitu aku memintanya untuk menjual kepada aku saja. Orang tersebut malah bertanya," Untuk apa ? Aku menjawabnya, "Bahawa dengan membunyikan loceng itu, kami dapat memanggil kaum Muslimin untuk menunaikan solat." Orang itu berkata lagi, "Adakah kau mahu jika ku ajarkan cara yang lebih baik ?" Dan aku menjawab " Ya !"Lalu dia berkata lagi, dan kali ini dengan suara yang amat lantang , " Allahu Akbar, Allahu Akbar.." Ketika esoknya aku bangun, aku menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan perihal mimpi itu kepada baginda. Dan baginda bersabda: "Itu mimpi yang sebetulnya nyata. Berdirilah di samping Bilal dan ajarkan dia bagaimana mengucapkan kalimat itu. Dia harus mengumandangkan azan seperti itu dan dia memiliki suara yang amat lantang." Lalu aku pun melakukan hal itu bersama Bilal." Rupanya, mimpi yang serupa dialami pula oleh Umar r.a, beliau juga menceritakannya kepada Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w bersyukur kepada Allah SWT di atas semua petunjuk tersebut.
Read more

Friday, July 2, 2010

Hadis: Memutuskan Silaturahim

Hadis :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahim" Riwayat al-bukhari

Huraian
i) Silaturahim bermaksud menyambungkan tali persaudaraan atau kasih sayang, mengeratkan kembali rasa kecintaan serta menjaga keutuhan persaudaraan yang telah terbina terhadap saudara, kerabat, teman dan sebagainya.

ii) Membina dan mengeratkan silaturahim adalah merupakan satu tugas dan tuntutan yang wajib di sisi Islam di mana Rasulullah s.a.w amat membenci golongan yang suka memutuskan hubungan persaudaraan sesama manusia sebagaimana sabda baginda yang maksudnya:" Tidak halal bagi seorang muslim menjauhi (memutuskan) hubungan dengan saudaranya melebihi tiga hari."

iii) Mewujudkan silaturrahim bukan sekadar membawa maksud menyambung kembali ikatan persaudaraan yang telah retak atau memulihkan semula ketegangan dalam perhubungan malah ia membawa erti yang lebih luas lagi iaitu membina kemesraan dan keakraban dengan sesiapa sahaja menerusi sifat saling membantu, bertolak ansur dan sebagainya.

iv) Biasanya punca permasalahan dan gejala keretakan persaudaraan didahului dengan pertengkaran dan saling menjauhkan diri. Maka adalah menjadi kewajipan bagi seorang muslim yang lain mengajak saudaranya yang bertelagah itu ke jalan perdamaian sama ada dengan cara mendatangi, menyapa atau memberi salam serta diikuti dengan ucapan meminta maaf.

v) Seseorang yang sedang berada dalam suasana tegang (perselisihan faham) hendaklah membanyakkan sabar dan bersikap terbuka serta mengalah untuk meminta maaf atau memaafkan orang lain. Jangan bersikap sombong dan angkuh serta menganggap diri sentiasa benar atau betul kerana inilah punca terjadinya keretakan hubungan yang berterusan. Sesungguhnya dosa sesama insan hanya boleh dimaafkan oleh manusia itu sendiri dan bukanlah boleh diampunkan oleh Allah S.W.T.
Read more

Hadis : Menghina Orang Lain

Hadis :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :" Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat." Hadith riwayat Ahmad dan Tirmizi



Huraian :
i) Memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperleceh, memperlekeh, memanggil dengan gelaran yang memalukan, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan dan sebagainya adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah.



ii) Sesiapa yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sebaiknya selaku umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong. Justeru, apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan tersebut sekalipun seseorang yang dicela itu memang telah melakukan sesuatu dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu telah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.
Read more

Hadis: Meninggalkan Solat Jumaat

Hadis :

Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya:"Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?" (Muslim)



Huraian:

Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain. Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar'i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain dariapada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah S.W.T ia juga merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.
Read more

Hadis : Menghina Orang Lain

Hadis :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :" Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat." Hadith riwayat Ahmad dan Tirmizi

Huraian :
i) Memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperleceh, memperlekeh, memanggil dengan gelaran yang memalukan, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan dan sebagainya adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah.

ii) Sesiapa yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sebaiknya selaku umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong. Justeru, apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan tersebut sekalipun seseorang yang dicela itu memang telah melakukan sesuatu dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu telah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.
Read more

Hadis : Berusaha Mencari Rezeki

Hadis :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:"Meraka yang mencari harta dunia (kekayaan ) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya dari meminta-minta (tidak menjadi pengemis ) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam."
Riwayat At-Tabrani

Huraian
i) Sesungguhnya Allah S.W.T amat kasih kepada orang yang berusaha atau bekerja mencari rezeki dengan titik peluh sendiri di mana dengan itu dia dapat memenuhi keperluan dan tanggungjawabnya terhadap diri, keluraga dan masyarakat. Malah kedudukannya adalah lebih baik daripada bersikap pemalas dan meminta-minta daripada orang lain. 

ii) Allah telah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut oleh Islam. 

iii) Kita perlu ingat bahawa hanya rezeki yang halal sahaja mesti dicari kerana di situlah letaknya keberkatan dan ganjaran daripada Allah S.W.T. Sedangkan rezeki yang diambil daripada punca yang haram seperti rasuah dan sebagainya, lambat laun akan menimbulkan kecelakaan dan masalah dalam hidup bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga.
Read more

Kaya Harta Dan Kaya Ilmu

Hadith :
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :" Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain." (al-Bukhari)


Huraian:
Setiap perbuatan ada matlamatnya masing-masing. Tetapi apa yang kita inginkan dalam hidup ini? Ilmu, wang atau selainnya? Perumpamaan orang yang kaya harta dan menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada setiap butir terdapat seratus biji. Hakikatnya, kaya dan miskin akan menguji tahap keimanan seseorang. Tidak semestinya yang kaya kurang imannya dan yang miskin pula kuat imannya atau sebaliknya. Jika direnung manakah yang lebih utama, ilmu atau harta? Tentu sekali ilmu kerana seperti kata sayidina Ali: "Ilmu akan menjaga diri mu, sementara harta adalah sebaliknya, kamu yang harus menjaganya." Namun alangkah baiknya jika kita kaya kedua-duanya. Kaya harta dan kaya ilmu kerana kedua-dua mampu menaikkan kedudukan kita bukan sahaja di sisi manusia bahkan di sisi Allah SWT iaitu dengan cara memanfaatkan kurniaan Allah itu ke jalan yang diredhai-Nya.
Read more

Hadis : Berlaku Adil Kepada Anak-Anak

Hadis:
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu. "
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian
i) Anak-anak adalah amanah Allah S.W.T yang telah diserahkan kepada ibubapa untuk dijaga dan dipelihara dengan membimbing mereka ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

ii) Membeza-bezakan anak adalah faktor yang boleh merosakkan peribadi dan jiwa mereka kerana akan timbul perasaan hasad dengki hingga membuatkan mereka sering bergaduh dan hilang rasa kasih sayang sesama sendiri.

iii) Sewajarnya ibubapa menyamakan layanan antara anak-anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, sempurna atau cacat, cantik atau tidak kerana semua perkara dari segi pakaian, makanan, pemberian, kasih-sayang dan sebagainya adalah hak mereka yang mesti dipenuhi dan diberi sama rata apatah lagi hubungan antara ibubapa dan anak adalah hubungan yang bersifat kewajipan dan tanggungjawab.

iv) Sesungguhnya ibubapa yang berlaku adil akan diberkan ganjaran syurga di akhirat kelak sebagaimana yang tersebut dalam hadith Rasulullah s.a.w, maksudnya:" Sesiapa yang mempunyai anak perempuan, kemudian tidak dihinakan dan tidak mengutamakan anak lelaki dari anak perempuan, nescaya dia dimasukkan Allah ke dalam syurga." (Abu Daud & Hakim)
Read more

Hadis : Roh Harum & Roh Busuk

Hadis :
Dari Abu Hurairah r.a katanya: "Apabila roh orang-orang mukmin keluar dari tubuhnya dua orang malaikat menyambutnya dan menaikkannya ke langit." Kata Hammad :"Kerana baunya harum seperti kasturi." Kata penduduk langit " Roh yang baik datang dari bumi. Sallallahu ‘alaika (semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepadamu) dan kepada tubuh tempat engkau bersemayam." Lalu roh itu dibawa ke hadapan Tuhannya Azza wa Jalla. Kemudian Allah berfirman:"Bawalah dia ke Sidratul Muntaha dan biarkan di sana hingga hari kiamat." Kata Abu Hurairah selanjutnya:" Apabila roh orang-orang kafir keluar dari tubuhnya – kata Hammad, berbau busuk dan mendapat makian-, maka berkata penduduk langit,"Roh jahat datang dari bumi." Lalu diperintahkan, bawalah dia ke penjara dan biarkan di sana hingga hari kiamat."
(Muslim)

Huraian :
Kematian sesungguhnya amat menyiksakan. Kematian orang-orang yang tidak beriman mempunyai banyak perbezaan dengan kematian orang-orang yang beriman. Tanda-tandanya bukan sahaja dapat dilihat oleh orang yang hidup bahkan ini diperakukan sendiri di dalam al-Quran melalui firman Allah S.W.T yang maksudnya:"Kalau sekiranya kamu dapat melihat malaikat-malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka serta berkata, "Rasakanlah olehmu siksa neraka yang membakar." (niscaya kamu akan merasa sangat ngeri) (al-Anfal :50). Rasulullah s.a.w sekalipun dianggap sebagai kekasih Allah turut merasakan kesakitan sakratulmaut. Itupun baginda diperlakukan secara lembut oleh malaikat. Maka bayangkanlah bagaimana kesakitannya jika kita selaku insan biasa dapat berhadapan dengan situasi ini. Oleh itu seharusnya kita sentiasa berwaspada agar tidak tergolong di kalangan orang-orang yang tidak beriman, lalai dan lupa kepada Allah kerana sudah pasti roh kita nanti bakal ditempatkan di dalam penjara sehingga hari kiamat.
Read more

Hadis : Alamat Mimpi

Hadis :
Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya:"Apabila hari kiamat telah dekat, jarang mimpi seorang muslim yang tidak benar. Mimpi yang paling benar ialah mimpi yang selalu berbicara benar. Dan mimpi seorang muslim adalah sebahagian dari 45 jenis nubuwwah (wahyu). Mimpi itu ada tiga jenis:(1)Mimpi yang baik adalah khabar gembira daripada Allah, (2) mimpi yang menakutkan atau menyedihkan datangnya dari syaitan, (3) dan mimpi yang timbul kerana ilusi, angan-angan atau khayalan seseorang. Maka kerana itu jika kamu bermimpi yang tidak kamu senangi, bangunlah kemudian solat dan jangan menceritakannya kepada orang lain."
(Muslim)

Huraian :
Setiap daripada kita pernah mengalami mimpi. Mimpi yang hadir ada yang menyenangkan dan ada juga mimpi yang buruk. Namun tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang tersirat di sebaliknya. Adakalanya mimpi itu bagaikan angin lalu yang tidak meninggalkan kesan kepada kita dan tidak kurang juga mimpi yang kita alami itu benar-benar menjadi kenyataan. Mimpi bagi orang yang bertaqwa merupakan perkhabaran benar terhadap sesuatu yang akan berlaku. Contohnya, Rasulullah s.a.w tidak bermimpi melainkan mimpi-mimpi baginda menjadi kenyataan. Begitu juga dengan nabi-nabi yang lain yang mengalami mimpi yang benar seperti kisah yang melatarbelakangkan sambuatan perayaan Idul Adha. Nabi Ibrahim a.s bermimpi, lalu baginda menceritakan hal mimpinya itu kepada anaknya, Ismail, "Wahai anakku, aku bermimpi menyembelihmu. Bagaimana pendapatmu?" (as-Shaffat: 102). Kerana yakin mimpi itu datang daripada Allah S.W.T, maka nabi Ismail a.s merelakan dirinya dikorbankan. Allah menghargai kesetiaan hamba-hamba-Nya yang soleh ini lalu menggantikan Ismail dengan seekor kibas. Begitu juga dengan kisah Nabi Yusuf a.s. Diceritakan bahawa pada suatu hari nabi Yusuf mengkhabarkan kepada bapanya nabi Ya'qub,"Wahai bapaku, aku melihat sebelas bintang, matahari, dan bulan bersujud kepadaku." (Yusuf: 4). Ternyata mimpi ini membawa petanda baik bahawa nabi Yusuf akhirnya diangkat menjadi pemimpin yang berkuasa dan bijak. Namun mimpi bagi insan yang jauh dari keimanan kebanyakannya datang daripada syaitan. Jika mimpinya itu benar-benar menjadi kenyataan maka itu adalah sebagai peringatan daripada Allah SWT agar mereka yang jauh daripada kebenaran (hidayah) itu kembali dekat kepada-Nya.
Read more

Hadis : 3 Amalan yang Berkat

Hadis :
Dari Ibnu Mas’ud r.a bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, :"Manakah amal yang lebih utama?" Beliau menjawab,:"Sembahyang dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah."
(Bukhari)

Huraian :
Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa setiap amal perbuatan atau amal ibadah walau sekecil zarah sekalipun pasti dibalas dengan pahala oleh Allah S.W.T. Bayangkan, jika kita melakukan amal perbuatan atau amal ibadah yang paling utama tentulah jumlah pahalanya luar biasa banyaknya. Maka beruntunglah orang yang dapat melakukan amalan-amalan seperti yang disebutkan di dalam hadith di atas yang sememangnya sungguh besar ganjarannya. Hal ini disebabkan setiap sesuatu kebaikan itu sesungguhnya amat susah untuk dilakukan lantaran terlalu banyak godaan dan halangan khususnya daripada syaitan laknatullah. Berbeza pula halnya dengan kejahatan yang senang sahaja berlaku kerana ini tidak dihalang bahkan dibantu khusus oleh syaitan. Oleh yang demikian, sebagai benteng yang kukuh, manusia mestilah mempunyai keimanan yang teguh bagi melawan hasutan syaitan tersebut kerana kebiasaannya orang yang selalu tewas dan malas dalam melakukan kebajikan adalah orang yang meremehkan pembalasan daripada Allah S.W.T sama ada ia merupakan pembalasan baik atau pembalasan buruk(neraka).
Read more

Hadis : Mensyukuri nikmat

Hadis :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Sesungguhnya Allah mengurniakan kepada sesuatu kaum itu nikmat yang kekal berada bersama mereka selagi digunakan untuk menunaikan hajat mereka yang memerlukan . Apabila mereka ini berpaling daripada berbuat sedemikian maka Allah akan pindahkan nikmat tersebut kepada kaum yang lain pula."
Riwayat Tabrani

Huraian :
i) Segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita hendaklah digunakan bertepatan dengan tujuan ia diberikan. Itulah tanda kesyukuran yang dituntut oleh Islam.

ii) Setiap muslim janganlah bersifat kedekut untuk melakukan amal kebajikan dan bersedia memperbaiki segala amal perbuatannya kerana Allah akan memberi ganjaran walau sekecil mana pun amalan tersebut.

iii) Kita hendaklah mengambil pengajaran di atas kesusahan yang menimpa orang lain agar terbit rasa bersyukur di dalam diri dan supaya kita tidak mempersia-siakan nikmat yang diperolehi kerana nikmat yang tidak disalahgunakan dan tidak disyukuri akan ditarik balik oleh Allah S.W.T.


Read more

Hadis : Curian Syaitan

Hadis :
Dari Aisyah r.a katanya:" Aku bertanya kepada Rasulullah SAW perihal menoleh atau berpaling di dalam solat." Jawab baginda:"Hal itu adalah suatu kecurian yang dilakukan oleh syaitan terhadap solat seseorang."
(Bukhari)

Huraian :
Tidak khusyuk dan banyak gerakan dalam solat seperti memandang ke langit (atas) atau menoleh ke kiri dan ke kanan ketika solat adalah mempamerkan sifat tidak berdisiplin seseorang itu ketika bersolat. Hal ini amat ditegah kerana Rasulullah SAW pernah memperkatakannya dalam sabda baginda yang bermaksud: Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlah kamu menoleh (ke sana sini iaitu tidak memfokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajah-Nya ke wajah hamba-Nya yang sedang bersolat selagi mana hamba-Nya tidak menoleh ke arah lain" (al-Bukhari dan Abu Daud ; fath al-Bari, 2/304 ) Juga sebuah hadith lain ada menyebut yang maksudnya: "Dan jauhilah orang yang menoleh dalam solat kerana sesungguhnya ia adalah suatu kebinasaan." (at-Tirmidzi) Justeru, difahami dari tegahan ini bahawa kita disuruh agar menumpukan hati dan minda kepada Allah SWT semasa solat dan tidak lalai atau dilalaikan oleh sesuatu yang lain kerana itu adalah satu helah syaitan (curian syaitan) untuk menyesatkan manusia daripada mengingati Allah SWT.
Read more

Thursday, July 1, 2010

Hadis : Manusia Yang Dikasihi Dan Dibenci Oleh Nabi Saw

Hadis :Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya." Para sahabat bertanya lagi, "wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah "ialah orang yang takbur."
Riwayat at-Tarmizi

Huraian
1. Orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah dan diberi tempat yang paling dekat dengan baginda di hari kiamat nanti.

2. Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak.

3. Islam juga melarang umatnya bersifat membangga diri dan memandang rendah serta menghina orang lain tetapi hendaklah bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan perasaan orang lain.

Read more

Hadis : Nilai Korban Dan Solat Jumaat

Hadis :

Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:"Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah (mandi dengan membersih seluruh tubuh badan), kemudian dia pergi ke Jumaat (solat Jumaat) (sebagai orang yang pertama sampai) maka sama halnya seperti orang yang berkorban seekor unta; dan sesiapa yang datang sebagai orang kedua, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor lembu betina; sesiapa yang datang sebagai orang ketiga, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor biri-biri bertanduk; sesiapa yang datang sebagai orang keempat, sama halnya dengan seorang yang berkorban seekor ayam; dan sesiapa yang datang sebagai orang kelima; sama halnya dengan orang yang berkorban dengan sebutir telur. Apabila imam telah menaiki mimbar maka para malaikat yang hadir juga ikut mendengar khutbah." (Bukhari)



Huraian :

Allah menetapkan kelebihan tertentu pada tempat dan masa. Contohnya Allah melimpahkan berkat-Nya terhadap Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah daripada segala tempat lain di dunia ini. Begitu juga dengan kelebihan masa iaitu Allah SWT telah melebihkan Ramadhan daripada segala bulan yang lain dan Allah juga melebihkan hari Jumaat daripada segala hari yang lain dalam seminggu. Hari Jumaat juga dinamakan 'Yaumul-mazid' iaitu hari pemberian tambahan kerana pada hari berkenaan, Allah mengurniakan rahmat yang banyak kepada hambanya. Segala permohonan seseorang hamba itu akan dikabulkan sekiranya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan 'waktu mustajab'. Betapa mulianya hari Jumaat ini hingga Allah juga mensyariatkan agar dikerjakan solat khusus pada hari tersebut iaitu yang dinamakan solat Jumaat di mana bagi setiap orang yang pergi menunaikan solat tersebut disediakan ganjaran yang amat besar yang tidak ada pada hari-hari yang lain. Tetapi malang sekali ada juga antara kita yang berasakan hari Jumaat adalah sama seperti hari-hari lain. Ini menyebabkan mereka mengisi hari tersebut dengan hati yang kosong, tanpa doa dan harapan kepada pencipta-Nya. Lebih malang lagi, ada pula yang sanggup meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja, tanpa rasa berdosa kepada Allah SWT. Golongan ini bukan sahaja lupa pada kewajipan mereka terhadap Allah, malah mereka lupa pada azab Allah yang bakal menimpa. Jauh sekali ingin meraih seribu satu keuntungan daripada kemuliaan hari tersebut.
Read more

Hadis : Banyak Cara Untuk Bersedekah

Hadis :

Dari Abu Dzar r.a katanya:"Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah berkata kepada beliau,:"Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka." Jawab Rasulullah SAW:"Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (menagajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah." Mereka bertanya:"Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami?" Jawab Rasulullah SAW " Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala."

(al-Bukhari)





Huraian

1. Sedekah adalah sesuatu yang dapat menambahkan pahala seseorang selain daripada amal ibadat atau kebajikan yang diwajibkan untuk dilakukan.



2. Sedekah yang paling mudah adalah dengan menggunakan anggota badan seperti senyum yang tidak memerlukan sebarang tenaga mahupun wang ringgit. Begitu juga dengan berzikir kepada Allah yang hanya perlu diucapkan dengan lidah atau hati. Malah setiap sesuatu yang dilakukan dengan niat kerana Allah adalah dianggap sebagai sedekah.



3. Orang yang memiliki banyak kelebihan sama ada berupa harta benda, kekayaan, ilmu dan sebagainya selayaknya menginfakkan nikmat Allah tersebut untuk membantu mereka yang memerlukan. Dengan itu hubungan antara anggota masyarakat menjadi lebih kukuh tanpa timbul perasaan dengki dan iri hati antara satu sama lain.



4. Bersedekah adalah tanda bahawa seseorang itu mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah. Sebaliknya orang yang bersifat kedekut adalah orang yang tamak. Sedangkan Allah SWT sahaja yang memiliki segala sesuatu dan Dia berhak merampas kembali nikmat tersebut pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu Islam mengatakan bahawa keberkatan rezeki itu adalah bergantung kepada cara bagaimana seseorang menyalurkan rezeki yang diperolehinya sama ada kepada kebaikan atau keburukan.
Read more

Wednesday, June 30, 2010

Hadis : Dugaan Menghapuskan Dosa

Hadis :
Dari Abdullah r.a katanya:"Aku datang mengunjungi Rasulullah s.a.w ketika beliau sakit, lalu kusentuh baginda seraya berkata:"Ya Rasulullah! Demam anda bertambah teruk." Jawab baginda,"Memang demamku sama dengan demam dua orang kamu. Kataku pula, “Semoga anda mendapat pahala berganda pula." Jawab baginda:"Semoga!" Kemudian sabda baginda pula:"Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah Taala dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya." (Muslim)

Huraian :
Segala bencana, penyakit, kesusahan atau kerunsingan yang menimpa tubuh badan atau akal fikiran seseorang mukmin adalah menjadi "kaffarah" (penghapus) kekotoran dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana itu. Anas berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka, kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan reda, maka dia akan beroleh keredaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah." (at-Tirmidzi dan Ibn Majah)
Read more

Hadis : 99 Nama Allah

Hadis :
Dari Abu Hurairah r.a bahawa nabi s.a.w bersabda:"Sesungguhnya Allah mempunyai sembilan puluh sembilan nama iaitu seratus kurang satu. Siapa menghafalnya masuk syurga."
(Muslim)

Huraian :
Perumpamaan orang yang ingat akan Allah dengan orang yang tidak ingat akan Allah laksana orang yang hidup dengan orang yang mati. Beberapa sifat orang yang beriman yang disebutkan Allah dalam al-Quran adalah sebagai berikut: "Sesungguhnya orang-orang beriman yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya,dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah kepadanya maka bertambahlah imannya,sedang mereka itu bertawakkal kepada tuhannya." (al-Anfal.:2) "Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah dan sebutlah nama Allah dengan ingatan dan sebutan yang sebanyak-banyaknya."(al-Ahzaab:41). "...Lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak dan perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, maka Allah menyediakan untuk mereka pengampunan dan pahala yang besar." (Al-Ahzaab:35). Sebenarnya untuk melayakkan diri tergolong dalam golongan orang-orang beriman seperti disebutkan bukanlah setakat memerlukan kita mengingati 99 nama-nama Allah bahkan kita mestilah menghayati erti dan maksudnya sekali sehingga dengan itu hati kita sentiasa merasa gerun dan takut untuk berbuat dosa kepada Allah sekalipun dosa kecil.
Read more

Hadis : Mewarnakan Rambut

Hadis :

Dari Ibnu Sirin r. A katanya:."Aku bertanya kepada Anas bin Malik r.a:"Adakah Rasulullah s.a.w mencelup rambut baginda?" jawab Anas:"Baginda tidak kelihatan beruban, kecuali di janggutnya nampak beberapa helai rambut putih." Kata Ibnu Sirin:"Aku betanya pula kepadanya, adakah Abu Bakar mencelup rambutnya?" Jawab Anas:"Ada. Dengan inai." (Muslim)



Huraian :

Sebahagian daripada perkara yang tergolong di dalam masalah perhiasan ialah mewarnakan rambut atau janggut yang telah beruban. Tetapi dengan warna apa dibenarkan mewarna rambut? Apakah dengan warna hitam atau warna-warna lain? Atau mesti mengelakkan dengan warna hitam? Orang yang telah tua, ubannya telah merata sama ada di kepala ataupun di janggut, tidak selayaknya mewarnakannya dengan warna hitam. Oleh itu, ketika Abu Bakar membawa bapanya Abu Qufahah ke hadapan Nabi s.a.w. pada hari penaklukan Mekah, Nabi melihat rambutnya seperti pokok Thughamah yang terlalu putih buah dan bunganya. Nabi bersabda: "Ubahlah ini (uban) tetapi jauhilah warna hitam." (HR Muslim). Manakala mereka yang tidak sebaya dengan Abu Qufahah, tidaklah berdosa apabila mewarna rambutnya dengan warna hitam. Dalam masalah ini al-Zuhri telah berkata: "Kami mewarna rambut dengan warna hitam apabila wajah masih kelihatan muda, tetapi apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah goyang, kami tinggalkan warna hitam." (Fathul Bari) Dan di dalam sebuah hadis riwayat Abu Zar mengatakan: Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarna uban ialah pokok inai dan katam." (HR Tarmizi dan ash-habusunan) Katam adalah sejenis pokok yang tumbuh di Yaman yang mengeluarkan pewarna berwarna hitam kemerah-merahan. Dan Inai sejenis pokok berdaun yang mengeluarkan warna merah. Anas bin Malik meriwayatkan, bahawa Abu Bakar mewarna rambutnya dengan inai dan katam, manakala Umar hanya dengan inai sahaja.
Read more

Hadis : Sejahat-jahat Makhluk

Hadis :
Dari Aisyah r.a. katanya,:"Sesungguhnya ummu Habibah dan Ummu Salamah ada menyebutkan kepada nabi gereja yang dilihatnya di negeri Habsyah, bahawa di dalam gereja itu ada sejumlah patung. Sabda nabi s.a.w,:"Sesungguhnya orang-orang itu jika yang meninggal di antara mereka orang soleh, mereka membuatkannya masjid di atas kuburannya dan mereka buatkan patungnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk di sisi Allah pada hari kiamat." (al-Bukhari)

Huraian :
Islam tidak meredhai umatnya menyimpan patung di dalam rumah kerana ia mirip kepada sembahan-sembahan yang biasa dipertuhankan oleh orang-orang kafir. Sekalipun seseorang itu tidak menganggap patung tersebut sebagai tuhan dan tidak menyembahnya, ia tetap ditegah kerana Islam bukan sekadar melarang seseorang dari melakukan syirik tetapi ia juga menghalang dan menutup segala jalan-jalan yang mengarah, menyerupai dan memiliki unsur syirik. Lebih dari itu malaikat juga enggan memasuki rumah yang mempunyai patung di dalamnya dan ketiadaan para malaikat ini akan menjauhkan rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada penghuni rumah tersebut. Akan tetapi Islam sedia memberi kelonggaran dan kemudahan hukum kepada anak-anak kecil yang memiliki patung sebagai alat mainan kerana bagi anak-anak, patung-patung tersebut tidaklah memiliki sebarang nilai sembahan kecuali sekadar alat mainan sahaja. Namun begitu di zaman kini agak sukar dibezakan antara patung (al-Tamathil) yang dibenarkan atau dilarang kerana ia kini diperbuat dari pelbagai bahan-bahan yang berbeza dengan zaman Nabi s.a.w. Ada patung dari aloi logam, bahan gentian plastik, kaca dan sebagainya. Maka langkah terbaik dan selamat ialah tidak menyimpan patung-patung tersebut sama ada di dalam rumah, pejabat, kereta atau di mana-mana sekalipun kerana ditakuti ia menjebakkan kita di dalam perbuatan syirik tanpa sedar.
Read more