Nabi Yunus ditelan ikan paus
8:05 PM
By
Ahmad Iskandaraniy
Kisah Nabi / Rasul
0
comments
YUNUS bin Matta seorang soleh, dilantik menjadi rasul ke-21 pada usia 30 tahun. Beliau diutuskan supaya memimpin kaumnya menyembah Allah, sekali gus meninggalkan pemujaan berhala.
Selama 33 tahun beliau berdakwah terhadap kaumnya, namun dua orang saja yang mengikut dan beriman bersamanya, iaitu Rubil dan Tanukh. Disebabkan tidak tahan dengan gelagat kaumnya yang tidak mahu beriman dengan ajarannya, beliau berdoa kepada Allah.
Kemudian beliau diberikan wahyu supaya meneruskan seruan itu selama 40 hari dan jika masih ingkar, kaumnya dijanjikan Allah dengan azab.
Masa berlalu dengan pantas dan sampai hari ke-37 umatnya masih enggan mendengar nasihatnya. Akhirnya cukup 40 hari, awan hitam kelihatan di kaki langit. Melihat perubahan cuaca yang membimbangkan itu, Yunus segera keluar dari negerinya.
Umatnya yang menyedari azab Allah semakin hampir menimpa mereka, terus keluar rumah dan menuju ke satu tempat untuk bertaubat. Mereka mencari Yunus untuk mengadu perkara itu, tetapi sia-sia kerana rasulnya sudah berpindah ke tempat lain.
Allah yang Maha Pengampun menerima taubat mereka, lalu dihilangkan awan hitam itu. Selepas itu mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa, namun masih berusaha mencari Yunus, tetapi tidak dijumpai.
Firman Allah bermaksud: “Tatkala mereka (kaum Yunus) beriman, Kami hilangkan daripada mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia dan Kami beri kesenangan kepada mereka sampai kepada waktu yang tertentu.”
Nabi Yunus yang menghilangkan diri daripada kaumnya berlayar dengan sebuah kapal, tetapi dalam pelayaran itu berlaku taufan sehingga kapal yang dinaikinya hampir karam.
Memandangkan keadaan kapal tidak stabil, nakhoda bertanya: “Siapakah antara kamu yang menaiki kapal ini orang pelarian? Jika ada lebih baik mengaku saja dan terjun ke laut segera demi menyelamatkan penumpang yang ramai ini.”
Apabila mendengar suruhan nakhoda itu, Nabi Yunus segera terjun ke laut dan terus dilambung ombak. Ketika itu juga datang seekor ikan paus menelannya, tetapi dengan pertolongan Allah beliau tidak mati dalam perut ikan terbabit.
Bagaimanapun, ketika berada dalam perut ikan, beliau tidak berhenti memohon keampunan dan berdoa kepada Allah supaya beliau diselamatkan.
Kemudian ikan itu berenang ke tepi pantai dan mengeluarkannya dalam keadaan selamat.
Firman Allah bermaksud: “Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang yang banyak mengingati Allah, nescaya ia akan tetap tinggal di dalam perut ikan itu sampai hari berbangkit. Kemudian Kami lemparkan dia ke daerah yang tandus, sedang dia dalam keadaan sakit. Dan Kami tumbuhkan untuk dia sebatang pokok daripada jenis labu.”
Selepas mengalami peristiwa itu, Yunus menuju ke negerinya dan dalam perjalanan pulang itu beliau berselisih dengan seorang pengembala, lalu bertanya: “Bagaimanakah keadaan orang-orang yang tinggal di kampung ini?“
Pengembala terbabit menjawab: “Keadaan orang di sini baik, hidup aman dan tenteram kerana sudah bertaubat kepada Allah, selepas melihat azab yang didatangkan Allah. Mereka menunggu nabinya yang telah lama meninggalkan mereka.”
Mendengar jawapan pengembala itu, Yunus berkata: “Akulah nabi dan rasul mereka, Yunus.” Selepas itu, pengembala terbabit memaklumkan kepulangan Yunus kepada kaumnya dan mereka ternyata sungguh gembira dengan berita itu.
Firman Allah bermaksud: “Dan Kami utus dia (Yunus) kepada 100,000 orang atau lebih, lalu mereka beriman, kerana itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu.”
0 comments: