Tuesday, March 26, 2013

SIRI TARBIAH 6 - HIDAYAH


قل أتعلمون الله بدينكم والله يعلم ما فى السماوات وما فى الأرض، والله بكل شيء عليم. يمنون عليك أن أسلموا، قل لا تمنوا على إسلامكم، بل الله يمن عليكم ان هداكم للإيمان إن كنتم صادقين. إن الله يعلم غيب السماوات والأرض، والله بصير بما تعملون
Katakanlah (kepada orang-orang arab itu wahai Muhammad)” Patutkah kamu hendak memberitahu Allah tentang agama kamu (dengan berkata: “ kami telah beriman?” padahal Allah mengetahui segala yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu. Mereka mengira mereka berbudi kepada kamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah Islam (tidak melawan dan menentang). Katakanlah (kepada mereka) : “janganlah kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahakan (kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka), Allah jualah yang berhak membangkitkan budi-Nya kepada kamu kerana Dialah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamun orang-orang yang benar (pengakuan imannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (Al-Hujuraat: 16-18)

Di dalam ayat ini dijelaskan bahwa hidayah dan petunjuk yang dimiliki oleh seseorang itu adalah kurniaan daripada allah. Ia adalah kurniaan yang sangat berharga. Keimanan dan keislaman kita bukanlah pilihan kita, tapi aia adalah pilihan allah kepada kita. Ia bukanlah habuan untuk kita mengungkit bahawa ia adalah budi kita kepada Allah dan RasulNya. Tapi yang layak untuk menhungkitkan hal ini ialah Allah, sebab hidayah buat keislaman dan keimanan kita adalah anugerah dari Allah.

RIJAL DAKWAH SUATU ANUGERAH

Islam adalah agama pilihan Allah buat hambanya yang beriman. Pilihan Allah kepada kita sangat berharga, iaitu dikalangan berjuta hamba-Nya kita ttelah dipilih oleh Allah untuk menertai kafilah dakwah dan perjuangan suci ini. Bahkan kita ttelah dipilih oleh Allah untuk meneruskan kerja asas Rasul-rasul diutuskan oleh mungkar, serta mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya. Firman Allah:

كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله

Maksudnya:
“ Kamu adalh sebaik-baik ummat yang dikeluarkan oleh Allah kepada manusia, kamu menyuruh yang baik dan mencegah yang mungkar, dan kamu beriman dengan Allah” (Ali Imran ; 110).

KITA PERLUKAN ISLAM

Pada hakikatnya Islam tidak perlukan kita, tapi kitalah yang memerlukan Islam. Seandainya kita tidak mahu membantu dan menolong Islam, Allah yang Maha Berkuasa amat berkuasa untuk menukar dan menggantikan orang lain untuk membantu agamaNya. Firman Allah;

يأيهاالذين آمنوا من يرتد منكم عن دينه فسوف ياتي الله بقوم يحبهم ويحبونه

Maksudnya:
“ Wahai orang-orang yang beriman, siapa yang berpaling tadah di kalangan kamu daripada agama Allah, Allah akan mendatangkan kaum lain untuk beriman dengan agamaNya, yang Allah kasih kepada mereka dan mereka juga kasih kepada Allah” (al Maidah: 54)

Hal ini mendorng untuk kita sentiasa bersyukur di atas pilihan Allah terhadap kita. Kesedarn ini telah mewajarkan kita untuk membalas jasa dan budi Allah kepada kita dengan kita sentiasa berkorban dan berjuang, membela serta mempertahankan agamaNya, dengan meletakkan segala kepentingan peribadi kita di belakang dan meletakkan kepentingan agama melebihi segala-galanya.

HIDAYAH DAN PERJUANGAN

Bertolak dari keinsafan dan kesedaran kita terhadap betapa tingginya nikmat dan hidayah di dalam jiwa kita, kita telah berjuang dan menggerakkan Harakah Islamiyyah di tanah air yang tercinta ini. Justeru itu, tidak hairanlah mengapa setelah kewafatan RasululLah dua pertiga daripada para sahabat Baginda telah keluar meninggalkan tanah air tercinta, merentasi lautan dan daratan untuk menyebarkan Islam kepada seluruh manusia, bahakan sebahagian besar di kalangan mereka mati di luar daripada Semenanjung Tanah Arab, kerana menghabiskan usia mereka sidi dunia ini meneyelamatkan manusia daripada kekufuran dan kesyirikan. Nikmat hidayah yang mereka miliki, mereka mahu ia turut menjadi nikmat bersama semua manusia. Begitulah tinggi dan berharganya anugerah hidayah yang dikurniakan oleh Allah, sehingga ia menjadi asas perjuangan dan penyebaran Islam dari dahulu sehingga ke hari ini.

Perjuanagn Islam yang digerakkan oleh para mujahidin sepanjang zaman sebenarnya berdiri di atas suatu cetusan yang tercetus dari lubuk hati mereka yang yang berasaskan keimanan dan mengharapkan keredhaan daripada Allah, bukan kerana mengharapkan balasan daripada manusia. Cetusan itu bertitik tolak daripada kegelisahan hati seseorang insane apabila hidayah mula bangun di dalam jiwanya. Ia adalah natijah daripada pertentangan yang berlaku di antara reality ummah dan keimanannya. Keadaan ummah yang semakin rosak dan kecintaannya kepada agama telah saling bertentangan. Masyarakat Islam yang semakin kendur dengan pegangan agama dan rasa berdosa membiarkan keadaan yang ada terus berleluasa menjadikan seorang muslim yang hidayah telah meresapi jiwanya berkerja untuk menyelamatkan ummahnya daripada terus menerus tenggelam di dalam kealpaan.

HIDAYAH, TARBIAH DAN DAKWAH

Tarbiah dan dakwah adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan di dalam perjuangan Islam. Tarbiah membawa maksud latihan pendidikan untuk melengkapkan seseorang individu muslim dengan segala aspek kekuatan rohani, jasmani, emosi, social, intelek dan kemahiran. Dakwah adalah usaha menyeru mannusia ke jalan Allah dengan mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan laranganNya.

Tarbiah seperti bahan bakar bagi diri individu yang akan melaksanakan dalwah. Tanpa bahan bakar yang sesuai, cukup dan bertahan lama, ia akan menyebabkan nafas perjalanan dakwah seseorang individu tidak lama dan akan berhenti pada bila-bila masa sahaja. Sementara hidayah bersumberkan dari dua sumber:
1- Allah
2- Rasul dan pendakwah

Hidayah yang bersumberkan rasul dan pendakwah sifatnya tidak mutlak, yang mutlak ialah daripada Allah. Ia memberi maksud, seseorang yang telah menerima hidayah melalui seorang rasul atau pendakwah, hakikatnya bukan rasul atau pendakwah itu yang member hidayah kepadanya, tetapi hakikatnya hidayah yang diterimanya adalah sebenarnya daripada allah. Dalam surah Al FAtihah kita membaca:

اهدنا الصراط المستقيم
(Maksudnya; Tunjukkanlah kami jalan yang lurus)

Menurut Quraish Syihab; penggunaan ‘kami’ di sini menjelaskan dua sebab;

1. Hidayah tidak cukup jika ia hanya diperolehi oleh seseorang individu sahaja tanpa melibatkan keseluruhan ahli masyarakat atau jamaah. Hidayah perlu menyeluruh kepada semua anggota masyarakat demi menjamin dan memastikan individu yang telah mendapat hidayah tetap berada di atas jalan yang lurus. Seseorang yang telah mendapat hidayah tetapi lingkungannya tidak, hidayah dan keimanannya akan terancam.

2. Hidayah yang sifatnya tidak mutlak (melalui rasul dan pendakwah) diperolehi hasil daripada usaha sesama manusia dan ia akan menjadi asas kepada hidayah mutlak yang hadir daripada Allah.

Untuk merialisasikan kedua-dua realiti di atas, dakwah diperlukan. Dakwah adalah usaha di peringkat sesama manusia memohon hidayah mutlak dari sisi Allah. Adalah merupakan sunnatullah, hidayah Allah akan diperolehi apabila wujudnya sebab yang melayakkan sesorang menerima hidayah daripada Allah.

Sementara itu, adalah perlu difahami bahawa tarbiah dan dakwah perlu beriringan dan tidak sesuai dipisahkan. Sebagai contoh , walaupun Nabi berdakwah secara rasminya pada usia 40 tahun, namun Baginda sudah menyediakan modal dakwah sebelum daripada itu lagi. Salah satu modal yang disusun oleh Allah ialah sifat amanah dan mulia akhlaknya sehingga digelar al amin. Kejayaan RasululLah berdakwah bukan bermula 40 tahun. Baginda telah membina kejayaan karier dakwahnya seawall kehidupan remaja Baginda. Dan RasululLah mendapat tarbiah daripada Allah melalui murabbinya Jibril, sehinggalah Baginda wafat. Begitulah seharusnya ia menjadi pedoman kepada kita.

Tarbiah menjadi teramat penting apabila seseorang berada dalam lapangan dakwah dan perjuangan yang memerlukan lebih banyak persediaan dan bekalan. ‘Minyak’ terkadang mungkin habis secara tiba-tiba disebabkan perjalanan perjuangan dan dakwah ini jauh dan sukar. Inilah yang dinyatakan oleh Allah dalam surah At Taubah 42:

“ Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) suatu yang mudah di dapati, dan suatu perjalanan yang yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutimu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka”.

Kepentingan tarbiah kepada dakwah dan perjuangan adalah seperti air di dalam badan manusia. Sememangnya air diperlukan, namun ia perlu bergerak dan dijelmakan dalam bentuk pelbagai seperti darah, membaiki tisu dan sebagainya. Jika air tersebut diperamkan di dalam badan ia akan membusuk dan menyebabkan penyakit. Segala ilmu dan potensi yang dibina dalam tarbiah yang tidak diterjemahkan dalam bentuk aplikasi dakwah akan menyebabkan seseorang itu penuh dengan penyakit hati sehingga lebih suka menjadi penghukum (qadhi) daripada penyeru ke arah kebenaran (Ad Du’aat ilalLah). Tanpa dakwah, tarbiah akan merosakkan diri seseorang kerana merasakan dirinya sahaja yang betul dan individu lain semuanya salah.

Dalam pada itu, apa pula kesannya dakwah tanpa tarbiah? Tarbiah adalah minyak yang menyediakan tenaga dan modal kepada pendakwah dan petugas jamaah. Jika pada awalnya si pendakwah bersemangat untuk mengajak manusia ke arah kebaikan, ia akan ketandusan minyak jika tidak dibekalkan dari masa ke semasa. Apabila ketandusan minyak, bukan sahaja dakwah tidak dapat dilaksanakan dengan baik malah pendakwah itu sendiri akan keletihan dan tidak mampu meneruskan kerja-kerja dakwah dan kerjanya. Inilah sebenarnya punca kepada gejala keguguran di dalam medan dakwah dan perjuangan. Tarbiah yang kurang mantap memudahkan seseorang itu gugur daripada jalan yang mulia ini.

PENUTUP

Sesungguhnya, secara pasti tarbiah adalah jaminan kepada kelestarian dakwah dan perjuangan Islam. Dengan syarat, tarbiah menepati ciri yang digariskan oleh Allah barulah ia akan mampu menyediakan individu yang mapan dalaman dan luarannya untuk istiqamah dalam perjuangan. Allahu Akbar!.

0 comments:

Thursday, March 14, 2013

SIRI TARBIAH 5 - JIHAD


MUQADDIMAH


إنما المؤمنون الذين آمنوا بالله ورسوله ثم لم يرتابواوجاهدوابأموالهم و أنفسهم فى سبيل الله , أولئك الصادقون (الحجرات – 15)
Maksudnya;
Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya) tanpa ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya) (Al-Hujurat:15)

Orang-orang yang memiliki kesempurnaan iman ialah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul tanpa bercampur dengan sebarang keraguan terhadap segala yang diturunkan oleh Allah melalui Rasul yang diutuskan-Nya. Hati mereka tidak pernah ada keraguan, dan keimanan mereka tidak pernah bergoncang. Hati dan iman mereka tetap hanya di atas satu keadaan, iaitu ‘hanya tahu membenarkan, tidak mengenal apa itu keraguan’. Keimanan yang mereka imani itu tidak hanya sekadar itu, tapi ia dibuktikan dengan praktikal terhadap keimanan. Keimanan mereka yang mantap, tulus dan suci itu dinyatakan secara praktikal dengan sanggup berjihad dan berjuang pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga mereka.

PENGERTIAN JIHAD
Jihad di jalan Allah SWT maknanya ialah mengerahkan segala kemampuan dan tenaga untuk memerangi orang-orang kafir dengan tujuan untuk mengharapkan redha Allah SWT dan meninggikan kalimah-Nya. Mujahid di jalan Allah SWT adalah orang yang berperang di jalan-Nya dengan tujuan agar kalimah Allah (agama Islam) berada di tempat yang paling tinggi.

Abu Musa Al-Asy'ari RA berkata, "Ada seorang laki-laki yang datang kepada Nabi SAW lalu berkata, "Seseorang yang berperang agar mendapatkan harta rampasan, dan seseorang yang berperang agar terkenal (namanya) dan seseorang yang berperang agar mendapatkan kedudukan, maka siapakah di antara mereka yang berperang di jalan Allah SWT?". Nabi SAW menjawab, "Orang yang berperang agar kalimah Allah SWT menjadi yang paling tinggi itulah orang yang berperang di jalan Allah SWT." (Muttafaq 'alaih).

HIKMAH JIHAD

Allah SWT mensyari'atkan jihad di jalan-Nya agar;
a- kalimah-Nya menjadi yang paling tinggi dan agama itu hanya untuk Allah SWT semata-mata,
b- serta mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya,
c- menyebarkan Islam, menegakkan keadilan, menolak kazaliman dan kerosakan,
d- memelihara kaum muslimin serta menghancurkan musuh dan menolak tipu daya mereka.

Allah SWT mensyari'atkan jihad sebagai ujian dan cubaan bagi hamba-hamba-Nya agar jelas perbezaan antara orang yang jujur dan yang dusta, antara yang mukmin dan yang munafik, dan supaya diketahui orang-orang yang berjihad dan bersabar. Jihad bukanlah bertujuan untuk memaksa orang lain memeluk Islam, akan tetapi bertujuan untuk mengharuskan mereka agar tunduk pada hukum-hukum Islam sehingga agama itu hanya untuk Allah SWT. Jihad di jalan Allah SWT merupakan salah satu pintu dari pintu-pintu kebaikan yang dengannya Allah SWT menghilangkan gundah-gulana dan kekhuatiran serta mereka yang berjihad akan memperoleh derajat yang tinggi di syurga nanti.

TUJUAN BERJIHAD

Maksud utama dari berjihad dalam Islam adalah untuk
a- menghilangkan kekafiran dan kesyirikan serta mengeluarkan manusia dari gelapnya kejahilan, membawanya kepada cahaya iman dan ilmu,
b- menumpaskan golongan yang memusuhi Islam, serta menghilangkan fitnah,
c- meninggikan kalimah Allah SWT, menyebarkan agama-Nya,
d- serta menyingkirkan siapa saja yang menghalangi tersebarnya dakwah Islam.

Jika hal itu dapat dicapai dengan jalan damai maka peperangan tidak diperlukan. Memerangi orang yang belum pernah mendengar dakwah Islam tidak boleh dilakukan. Jika dakwah telah disampaikan, tetapi mereka menolak maka yang diwajibkan ke atas mereka ialah membayar jizyah, dan jika mereka tetap menolak maka barulah mereka boleh diperangi dengan memohon pertolongan Allah SWT.

Islam tidak mengiizinkan mereka diperangi kecuali ke atas mereka yang bersikap keras mempertahankan kekafiran, atau berbuat zalim, memusuhi Islam, serta menghalang manusia untuk memeluk agama ini atau juga ke atas mereka yang menyakiti kaum muslimin. Rasulullah SAW tidak pernah memerangi sesuatu kaum kecuali setelah mengajak mereka terlebih dahulu kepada Islam.

HUKUM BERJIHAD DI JALAN ALLAH

Berjihad di jalan Allah hukumnya fardhu kifayah jika sebahagian kaum muslimin telah melakukannya, pada ketika itu maka gugurlah kewajiban orang yang lain. Jihad bertukar menjadi fardhu ain kepada setiap individu yang mampu untuk berperang dalam beberapa keadaan seperti:
a- Apabila ia telah masuk ke medan perang
b- Jika pemimpin menyuruh semua orang untuk berperang
c- Jika suatu negeri/ daerah telah dikepung oleh musuh
e- Jika ia adalah orang yang sangat diperlukan di dalam peperangan, seperti dokter, pilot, dan yang sebagainya.
Allah SWT berfirman :
انفروا خفافا وثقالا وجاهدوا بأموالكم وأنفسكم فى سبيل الله, ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون

"Keluarlah kamu (berperang pada jalan Allah) samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) atau pun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggugjawab), dan berjuanglah di jalan Allah dengan harta dan jiwa kalian. Yang demikian itu lebih baik bagi kalian jika kalian mengetahui." (At-Taubah: 41).

Jihad di jalan Allah SWT adakalanya wajib dengan jiwa dan harta sekaligus, yaitu bagi siapa saja yang mampu dari segi harta dan jiwa; terkadang wajib dengan jiwanya saja yaitu bagi orang yang tidak mempunyai harta; dan ada pula wajib hanya dengan harta tidak dengan jiwanya, yaitu bagi orang yang tidak mampu untuk berjihad dengan badannya akan tetapi ia termasuk orang yang mempunyai harta. Allah SWT berfirman;

وقاتلوهم حتى لاتكون فتنة ويكون الدين لله, فإن انتهوا فلا عدوان إلا على الظالمين


"Perangilah mereka sehingga tidak ada fitnah dan agama itu hanyalah milik Allah SWT dan jika mereka berhenti (berperang) maka tidak boleh memusuhi kecuali atas orang-orang yang zalim." (Al-Baqarah: 193)

Dari Anas bin Malik bahwa Rasulullah SAW bersabda;

جاهدوا المشركين بأموالكم وأنفسكم وألسنتكم

"Perangilah kaum musyrik dengan harta, jiwa, dan lisan kalian." (HR. Abu Dawud dan Nasa'i)

JIHAD KEMULIAAN KITA

Selama mana kita sentiasa melaksanakan kerja-kerja perjuangan dan kita sentiasa mengiktikadkan bahawa semua kerja kita adalah jihad, selama itulah kita akan dimuliakan oleh Allah, dan jamaah yang menjadi wadah perjuangan kita ini akan digeruni oleh musuh-musuh Allah. Kita hendaklah menyedari bahawa betapa tingginya matlamat dakwah dan perjuangan kita, dan semakin luas skop yang kita perjuangkan, semakin bergandalah tuntutan jihad yang diperlukan, serta semakin besarlah pahala yang disediakan oleh Allah bagi pendokong dan penggerak amanah jihad itu. Kita hendaklah memahami bahawa jihad ialah :

a- Memiliki jiwa dan perasaan yang halus, hidup dan kuat, sentiasa berkobar-kobar untuk mendaulat dan meletakkan Islam di tempatnya. Sehingga dengan perasaan itu, kita turut merasa sedih terhadap nasib yang telah menimpa ummah di seluruh alam ini, yang dengan itu kita tidak rela membiarkan ummah selama-lamanya dihina. Lalu, ia menjadi motivasi perjuangan kita pada setiap detik dan ketika.
b- Memperuntukkan sebahagian masa, harta benda dan sebahagian keperluan dan kepentingan hidup kita untuk Islam dan ummahnya.
c- Melaksanakan tugas amar makruf nahi mungkar, menjalankan tugas nasihat menasihati serta menyeru manusia kepada Allah dengan penuh hikmah.
d- Membenci dan memutuskan hubungan dengan setiap penentang dan musuh Allah.
e- Menjadi tentera dan petugas kepada agama Allah, serta mewakafkan diri dan harta benda di jalan-Nya.
f- Mengasihi para mujahidin yang berjuang pada jalan Allah dengan sepenuh jiwa dan perasaan.

JIHAD MEMERLUKAN RIJAL

Rijal menurut Syed Qutb; “ Mereka ialah golongan yang mempunyai jiwa yang kental, kuat dan murni. Mereka berjuang dan berjihad tanpa ada sebarang kepentingan duniawi, rela mengorbankan segala-galanya, serta rela menanggung segala macam kesusahan dan pahit getir perjuangan. Mereka berjuang tidak mengharapkan selain keredhaan Allah. Hati yang mereka miliki sanggup mengharungi dan merentasi segala bentuk perjalanan dan nasib di dalam perjuangan, samada kesusahan hidup, dibuang negeri, disiksa, dipenjara dan mampu mengorbankan segala-galanya, sekalipun menempuh maut dan mengorbankan nyawa. Mereka berjuang tidak mengharapkan sebarang pembalasan di dunia, sekalipun balasan itu ialah kemenangan Islam, walaupun balasannya ialah kehancuran golongan yang zalim. Mereka berjuang tidak mengharapkan imbuhan, selain melihat hanya akhirat ialah penentu di antara haq dan bathil. Sehingga apabila telah ditemui hati-hati yang sebegitu, maka akan datanglah pertolongan Allah di mukabumi. Itulah rijal yang layak memikul amanah manhaj Ilahi dan penyebab kemenangan jamaah Islam”.

JIHAD KITA SUATU MUHASABAH

As-Syahid Imam Hasan Al-Banna menyebut; “ Sesiapa yang mendakwa ia boleh berkhidmat kepada Islam dan memberi saham kepada panji-panji dakwah, sedangkan ia kedekut dengan jiwa, harta, waktu dan setiap perkara yang dimilikinya, maka hendaklah ia memuhasabahkan dirinya. Bacalah Kitabullah, perhatilah sirah Rasulullah SAW, dan lihatlah kepada sejarah, sudah pasti ia akan memperoleh hakikat yang lebih jelas dari matahari pada siang hari. Dakwah dan perjuangan Islam tidak akan hidup melainkan dengan jihad, dan jihad tidak akan berlaku tanpa pengorbanan.

PENGORBANAN YANG DITUNTUT

Pengorbanan yang dituntut ialah mengorbankan jiwa, harta, kehidupan dan semuanya untuk mencapai matlamat dalam perjuangan. Inilah pengorbanan yang diseru oleh Allah dan tarbiah yang telah diberikan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya. Firman Allah SWT;

إن الله اشترى من المؤمنين أنفسهم وأموالهم بأن لهم الجنة
Maksudnya;
Sesungguhnya Allah telah membeli dari dari orang-orang yang beriman, jiwa-jiwa mereka dan harta-harta benda mereka dengan syurga (At-Taubah:111)

Para sahabat yang telah ditarbiah oleh Junjungan Rasulullah SAW dengan jihad dan pengorbanan, menjadi manusia yang sanggup memgorbankan setiap yang bernilai dan berharga demi memenangkan agama ini. Di atas reality inilah, kita selaku pewaris perjuangan Baginda, wajar mencontohi dan merealisasikan segala yang telah menyebabkan kejayaan golongan yang terdahulu. Sesungguhnya kegemilangan Islam hanya akan berulang dengan berulangnya reality umat yang terdahulu di dalam diri dan perjuangan kita.

GANJARAN TERHADAP PENGORBANAN

Setiap yang kita hulurkan untuk Islam tidak akan dipersia-siakan oleh Allah. Sehingga segala pengorbanan kita, termasuk menanggung kelaparan dan dahaga, menanggung kesakitan, kepenatan dan kepayahan demi Islam, sedikit atau banyak, kecil atau besar saham yang diberikan, pasti akan menerima balasan dan ganjaran dari sisi-Nya, tidak akan dipersia-siakan sedikit pun. Firman Allah SWT;

وما أنفقتم من شىء فهو يخلفه وهوخير الرازقين

Maksudnya;
Dan apa saja yang kamu sedekahkan, Allah akan menggantikannya. Dialah sebaik-baik pemberi rezki (As-Saba’: 39)

PENUTUP

Fenomena pendokong gerakan Islam yang tidak mempunyai perasaan benar-benar bertanggungjawab terhadap kemenangan Islam, tidak mempunyai komitmen yang benar-benar kuat terhadap kerja-kerja jamaah, tidak mampu berkerja keras untuk Islam, dan terlupa bahawa ia adalah amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah, adalah fenomena yang akan melemahkan perjalanan harakah. Selagi mana keadaan yang sebegini berterusan, maka selama itulah jamaah akan terus lemah, sedangkan matlamat perjuangan masih jauh untuk dicapai. Tenaga, fikrah dan hati kita sepatutnya hanya untuk Islam dan kemenangannya, kerana ia adalah modal yang paling penting kepada setiap kerja untuk mencapai matlamat perjuangan.

0 comments:

Friday, March 8, 2013

SIRI TARBIAH 4 - KEIMANAN DAN KETAATAN


MUQADDIMAH


قالت الأعراب ءامنا قل لم تؤمنوا ولكن قولوا أسلمنا ولما يدخل الإيمان فى قلوبكم . وإن تطيعوا الله ورسوله لا يلتكم من أعمالكم شيئا . إن الله غفور رحيم – الحجرات 14
Maksudnya;
Orang-orang ‘Aarab berkata: “Kami telah beriman”. Katakanlah wahai Muhammad: “Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman masih lagi belum meresap ke dalam hati kamu, berkatalah dulu, “kami telah Islam. Dan ingatlah, jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun pahala dari amalan-amalan kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani - (Al-Hujurat :14)

Ayat yang telah diketengahkan ini memberi kefahaman kepada kita, bahawa iman itu kedudukannya adalah lebih khusus daripada Islam. Kefahaman ini diperkuatkan dengan hadis Jibril yang datang kepada Rasulullah SAW bertanyakan tentang Islam, Iman dan Ihsan. Soalan Jibril kepada Rasulullah SAW itu bermula daripada soalan yang bersifat umum, kemudian meningkat kepada soalan yang lebih khusus, seterusnya kepada soalan yang lebih khusus.

BAGAIMANA IMAN BERMULA

Ayat yang bermaksud; “ sementara iman masih belum meresap ke dalam hati kamu”, memberi focus kepada satu persoalanan tarbiah, iaitu hati yang dimiliki oleh setiap muslim mungkin terdedah kepada hakikat bahawa ia mungkin mati atau mungkin dikuasai oleh kelalaian. Hati yang telah mati, cara menghidupkannya semula hanyalah melalui amal Islami seperti berzikir, membaca al-Quran, bersolat, berinfaq, berpuasa, menunaikan fardhu haji dan sebagainya. Dengan mempraktikkan amal-amal Islami tersebut, hati seorang muslim akan meningkat dan terus meningkat sehingga mencapai kepada kesempurnaan iman.

MEMBENTUK KEPERIBADIAN MUSLIM

Membentuk keperibadian muslim ialah dengan mencontohi Rasulullah SAW, iaitu dengan membentuk iman yang mendalam. Iman yang mendalam ini mempunyai ciri-ciri seperti berikut :
a- Dinamis; iaitu iman yang sentiasa bergerak dan hidup
b- Keyakinan yang kuat kepada Allah
c- Menyerahkan diri hanya kepada Allah
d- Dengar dan taat kepada arahan Allah, Rasul dan pimpinan
e-Tidak merasa berat melakukan ibadah dan kerja perjuangan
f- Tiada pilihan lain selain Islam sebagai cara hidup

Ciri-ciri keperibadian muslim yang disebutkan ini hanya mampu dipelihara apabila seorang muslim terlibat dengan dakwah dan perjuangan. Dengan keterlibatan kita di dalam perjuangan, kita memiliki benteng yang kuat di dalam menghadapi berbagai gangguan dan mehnah yang mungkin mempengaruhi kita menjauhi Islam.

Akhlak yang mulia yang dimiliki oleh seorang muslim, perlulah dijaga dan dipertingkatkan dengan semangat yang tinggi untuk beribadah kepada Allah. Seorang muslim, hidupnya adalah berorientasikan Allah dan hanya ditujukan kepada-Nya, menolak segala kemungkaran dan kemaksiatan, serta memilih hidup yang serius sebagai seorang Islam. Seorang yang memiliki keperibadian Islam yang sejati sentiasa optimis dan tidak pernah mengenal putus asa dalam perjuangan. Gerak kerjanya penuh dengan kesungguhan, sehingga ia mampu mempertingkatkan taqarrubnya kepada Allah dengan ibadah-ibadah seperti qiamullail, puasa-puasa sunat, tilawah al-Quran, berzikir dan sebagainya. Peribadi muslim yang terbentuk dengan cirri-ciri ini, akan sentiasa menikmati lazat dan manisnya ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.

Pembentukan peribadi muslim hanya akan terbentuk apabila terbentuknya keimanan di dalam jiwa seseorang. Dengan iman, seseorang akan mendapat kebahagiaan di dalam kehidupan dunia, lahiriah dan bathiniah, serta mendapat kebahagian di akhirat dengan limpahan rahmat, nikmat dan keredhaan Allah serta keselamatan dari siksaan Allah.

PERANAN IMAN DI DALAM KEHIDUPAN

Tanpa iman, manusia di dalam kehidupan dunia akan mengalami kebingungan dan kegelisahan apabila ditimpa tribulasi dan ujian. Gerakan Islam yang tidak pernah terlepas daripada ujian dan mehnah, amat memerlukan para mujahidnya yang sentiasa berada di dalam kekuatan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, agar mereka sentiasa dapat bertahan apabila berhadap dengan ujian dan mehnah di sepanjang jalan perjuangan. Justeru itu, pembentukan peribadi muslim, hendaklah dijadikan target utamanya ialah menanam keimanan. Hasil daripada keimanan akan turunlah rahmat dan keadilan Allah. Semua urusan dunia akan mudah diselesaikan apabila kita beriman kepada Allah. Persoalanan keimanan merupakan persoalanan yang paling mendasar, iaitu hidupnya hati dengan beriman dan mengenal Allah Yang Maha Suci. Sesungguhnya perlindungan dan pertolongan Allah hanya dikurniakan kepada golongan yang beriman dan bertaqwa. Firman Allah SWT;

وأن الله مع المؤمنين

Maksudnya;
Dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang beriman – (Al-Anfal: 9)

Alangkah nikmatnya hidup kita ditemani dan dilindungi oleh Allah SWT. Perjalanan orang yang beriman dan bertaqwa tidak akan tersesat di persimpangan yang akan menjauhkannya dari tujuan hidup yang sebenarnya.

MUSLIM YANG TERBAIK

Seorang muslim yang terbaik ialah siapa yang panjang umurnya dan banyak pula ketaatannya. Sabda Rasulullah SAW :

خيركم من طال عمره وحسن عمله
Maksudnya;
Sebaik-baik kamu ialah siapa yang panjang umurnya dan baik pula amalan ketaatannya.

Umur yang panjang dan dihabiskan di dalam ketaatan kepada Allah, memberi erti bahawa amal kebajikannya akan sentiasa bertambah dan kedudukannya di sisi Tuhan pun akan sentiasa meningkat. Begitulah juga sebaliknya, iaitu apabila umur yang diperuntukkan oleh Allah dihabiskan di dalam dosa dan maksiat, yang akan mengakibatkan dosa semakin bertambah, dan kedudukan seorang muslim itu akan semakin jauh daripada Allah.

REALITI UMAT ISLAM SILAM

Perjuangan Islam yang sedang kita gerakan dewasa ini, amat memerlukan para para mujahidnya sentiasa berkomitmen dengan amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah. Sejarah telah memperlihatkan kepada kita, bahawa saf perjuangan Islam sepanjang zaman telah mempersaksikan para pejuang Islam ialah mereka yang terdiri daripada mereka yang sangat berkomitmen dan beristiqamah di dalam perkara ketaatan dan ibadah kepada Allah. Hanya dengan beramal ibadah secara konsisten, kita akan dapat menarik rahmat dan kasih belas daripada Allah untuk mengurniakan kemenangan kepada kita di dalam perjuangan yang mulia ini.

Realiti para mujahid di zaman silam yang sentiasa hidup di dalam ibadah, telah menimbulkan kata-kata seperti ;

رهبان بالليل,فرسان بالنهار

Yang memberi maksud, mereka pada waktu malam ialah para para pendita yang tidak jemu-jemu beribadah dan sujud kepada Allah. Sedanglan pada waktu siang pula mereka ialah para pejuang yang gagah dan hebat di medan pertempuran dan perjuangan.

PEMUDA DAN MASJID

Pemuda Islam yang menjadi asset terpenting kepada perjuangan Islam wajar menitik beratkan dirinya dengan amal ketaatan yang paling berkualiti, khususnya di dalam penunaian ibadah solat secara berjamaah di masjid.
Firman Allah SWT;

إنما يعمر مساجد الله من آمن بالله واليوم الآخر وأقام اصلاة وءاتى الزكاة ولم يخش إلاالله

Maksudnya;
Hanyasanya orang mampu menghidupkan rumah –rumah Allah itu ialah siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, serta mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, serta tidak takut kepada sesiapa pun kecuali hanya kepada Allah – (At-Taubah : 18)

Menjuruskan pemuda kepada penunaian solat secara berjamaah di masjid dan sebagainya tidak sepatutnya dikesampingkan, bahkan adalah ia dikira sangat malang apabila ia dan dikira tidak penting di dalam perjuangan. Kepimpinan sebuah harakah Islamiyah sepatutnya mengambil perhatian yang lebih serius terhadap persoalanan ini, kerana dengan mengembalikan petugas gerakan kepada masjid, kita telah mengembalikan hakikat perjuangan Islam kepada situasi dan ketika Islam bermula di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.

Dari ayat ini jelas difahami bahawa seseorang yang dapat mendisiplinkan diri berkomitmen memakmurkan rumah Allah ialah mereka yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, dan tidak takut kepada apa jua pun, selain takutnya hanya kepada Allah.

PENUTUP

Amal yang soleh adalah amal yang sentiasa beriringan dengan keimanan. Justeru itu kita dapati di dalam al-Quran, setiap kali Allah menyebut iman, ia akan diiringi dengan amal soleh yang menjadi bukti kebenaran kepada harga sebuah keimanan. Kedua-duanya itu, iaitu iman dan amal soleh adalah merupakan sebab di antara sebab-sebab kemenangan, dan punca umat Islam dapat berpasak kuat memimpin manusia di atas jalan hidayah apabila kuasa pemerintahan sudah berada di tangan mereka. Bahkan ia adalah sebab bagi kebahagian insane untuk mengecap kebahagiaan abadi di akhirat nanti.

0 comments:

Friday, March 1, 2013

SIRI TARBIAH 3 - TAQWA


MUQADDIMAH

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13

Maksudnya ;
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamudari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pegetahuan-Nya (terhadap keadaan dan amalan kamu).

Asal kejadian manusia adalah daripada Adam alaihisalam. Daripada Adam, Allah ciptakan pula Hawa alaihassalam. Bermuala daripada sini, berkembang biaklah manusia, sehingga terpecahlah manusia kepada berbagai-bagai bangsa dan berbagai-bagai qabilah.

Di dalam ayat ini Allah SWT menegah manusia daripada bermegah-megah dengan keturunan, harta benda dan sebagainya. Allah menciptakan manusia berbangsa-bangsa dan bekabilah-kabilah, hanya bertujuan untuk manusia saling berkenalan antara mereka, selain untuk mengetahui siapa yang dekat dan jauh di dalam nasab keturunan, bukan untuk berbangga-bangga dengan keturunan. Tidak ada kemulian sesuatu bangsa dengan bangsa yang lain, seseorang dengan seseorang yang lain kecuali dengan taqwa.

DEFINASI TAQWA

Para ulama Rahimahullaah telah menjelaskan apa yang dimaksud dengan taqwa. Di antaranya, Imam Ar-Raghib Al-Ashfahani mendefinisikan: "Taqwa Iaitu menjaga jiwa dari perbuatan yang membuatnya berdosa, dan itu dengan meninggalkan apa yang dilarang, menjadi sempurna dengan meninggalkan sebagian yang dihalalkan".Sedangkan Imam An-Nawawi mendefinisikan taqwa dengan "Mentaati perintah dan larangan-Nya." Maksudnya, menjaga diri dari kemurkaan dan adzab Allah Subhannahu wa Ta'ala Hal itu sebagaimana didefinisikan oleh Imam Al-Jurjani "Taqwa yaitu menjaga diri dari pekerjaan yang mengakibatkan siksa, baik dengan melakukan perbuatan atau meninggalkannya."Karena itu, siapa yang tidak menjaga dirinya, dari perbuatan dosa, berarti dia bukanlah orang bertaqwa. Maka orang yang melihat dengan kedua matanya apa yang diharamkan Allah, atau mendengarkan dengan kedua telinganya apa yang dimurkai Allah, atau mengambil dengan kedua tangannya apa yang tidak diridhai Allah, atau berjalan ke tempat yang dikutuk Allah, berarti tidak menjaga dirinya dari dosa.
Jadi, orang yang membangkang perintah Allah serta melakukan apa yang dilarang-Nya,
dia bukanlah termasuk orang-orang yang bertaqwa. Orang yang menceburkan diri ke dalam maksiat sehingga ia mendapat murka dan siksa dari Allah, maka ia telah mengeluarkan dirinya dari barisan orang-orang yang bertaqwa.


UKURAN INSAN TERMULIA

Penilaian yang paling tepat untuk menentukan siapa yang terbaik adalah berpandukan neraca dan suluhan syarak.Taqwa adalah ukuran kemuliaan seseorang insane. Sabda Rasulullah SAW :

قام رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم وهو على المنبر، فقال: يا رسول الله، أي الناس خير؟ فقال صلى الله عليه وسلم: "خير الناس أقرؤهم، وأتقاهم لله عز وجل، وآمرهم بالمعروف، وأنهاهم عن المنكر، وأوصلهم للرحم" (2) .
Maksudnya;
Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW, ketika Nabi sedang berada di atas mimbar, seraya terus berkata: Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik ? Jawab Rasulullah: Manusia yang paling baik ialah siapa yang paling mengetahui terhadap Kitabullah, paling bertaqwa kepada Allah Azza Wajalla, yang paling banyak menjalankan kerja amar maaruf dan nahi mungkar, dan paling banyak menghubungkan tali silaturrahim.

Begitulah taqwa telah mengambil tempat yang tinggi untuk menjadi ukuran kemuliaan seseorang manusia, bahkan ia tetap kayu neraca Allah terhadap manusia pada hari akhirat nanti. Sabda Rasululllah SAW :

"إنَّ اللّهُ لا يسألُكُمْ عَنْ أحْسابِكُمْ وَلا عَنْ أنْسابِكُمْ يَوْمَ القِيامَةِ، إن أكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللّهِ أتْقاكُمْ".
Maksudnya;
Sesungguhnya Allah tidak bertanya mengenai kedudukan dan keturunan kamu pada hari kiamat nanti. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah siapa yang paling bertaqwa.

Sabda Rasulullah SAW :

إن الله لا ينظر إلى صوركم وأموالكم، ولكن ينظر إلى قلوبكم وأعمالكم"

Maksudnya;
Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras dan harta benda kamu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan kamu.

TUNTUTAN TAQWA

Taqwa menuntut kita mati sebagai seorang Islam. Bahkan lebih daripada itu, kita wajar mendambakan untuk mati di dalam perjuangan Islam. Firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran : 102

يا ايها الذين آمنوا اتقوا الله حق تقا ته ولا تموتن إلا و أنتم مسلمونMaksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya, dan janganlah sekali-kali kamu mati, kecuali mati dalam keadaan (beragama) Islam”.

Dari ayat ini dapat disimpulkan bahawa seorang muslim mesti berkomitmen dengan tiga komitmen :Komitmen Pertama
Komitmen pertama dari seorang muslim adalah beriman. Ciri-ciri orang yang beriman ialah seperti firman Allah di dalam surah Al Anfal : 2 – 3Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah; yang apabila di sebut asma Allah bergetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah bertambahlah iman mereka, dan kepada Allahlah mereka bertawakal. Iaitu orang-orang yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebagian rezeki yang Kami (Allah SWT) berikan kepada mereka”.


Komitmen Kedua;


Komitmen kedua seorang muslim adalah “Ittaqullah” iaitu bertaqwa kepada Allah SWT. Seorang muslim yang telah berkomitmen kuat beriman kepada Allah SWT akan berkerja untuk meningkatkan kualiti darjat keimanannya kepada darjat taqwa, iaitu menjalankan seluruh perintah Allah SWT dan meninggalkan semua larangan Allah SWT.
a- Komitmen Ketiga;
b- Komitmen ketiga dari seorang muslim adalah “Tamuutun Fil Islam” iaitu mati dalam keadaan Islam. Semoga keimanan dan ketaqwaan yang kita jalani dalam hidup ini akan menjadi modal kepada kita untuk menghadapi kematian, dan menjadi modal untuk menjadi orang yang beruntung di dunia dan akhirat nanti”.

TAQWA ADALAH JALAN KELUAR SEMUA PERMASALAHAN

Ketaqwaan adalah suatu yang amat penting bagi petugas di dalam gerakan Islam. Justeru kita sering bertembung dengan bebagai kesukaran, mehnah, ujian dan permasalahan di dalam berhadapan dengan musuh-musuh Islam. Firman Allah di dalam Surah At-Talaq:( 2-3):

ومن يتق الله يجعل له مخرجا . ويرزقه من حيث لا يحتسب
Maksudnya :
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan jalan keluar baginya. Dan memberi-nya rizki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.” Dalam ayat di atas, Allah menjelaskan bahwa orang yang merealisasikan taqwa akan dibalas Allah dengan dua hal. Pertama, “Allah akan mengadakan jalan keluar baginya.” Ertinya, Allah akan menyelamatkannya –sebagaimana dikatakan Ibnu Abbas Radhiallaahu anhu – dari setiap kesusahan dunia maupun akhirat. Kedua, “Allah akan memberinya rezki dari arah yang tidak disangka-sangka.” Ertinya, Allah akan memberinya rezki yang tidak pernah ia harapkan dan angankan. Al-Hafiz Ibnu Katsir dalam tafsirnya mengatakan: “Maknanya, barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah dengan melakukan apa yang diperintahkan-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya, niscaya Allah akan memberinya jalan keluar serta rezki dari arah yang tidak disangka-sangka, yakni dari arah yang tidak pernah terlintas dalam benaknya. Alangkah agung dan besar buah taqwa itu! Abdullah bin Mas’ud Radhiallaahu anhu berkata: “Sesungguhnya ayat terbesar dalam hal pemberian janji jalan keluar adalah: ”Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, niscaya Dia akan mengadakan jalan keluar baginya”.
Ayat lainnya adalah firman Allah:

ولو أن أهل القرى آمنوا واتقوا لفتحنا عليهم بركات من السماء والأرض , ولكن كذبوا فأخذناهم بما كانوا يكسبون
"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada me-reka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendus-takan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka di-sebabkan perbuatan mereka sendiri". (Al-A’raf: 96). Menurut Ibnu Abbas R.A, dalam ayat yang mulia ini Allah menjelaskan, seandainya penduduk negeri-negeri merealisasikan dua hal, yakni iman dan taqwa, nescaya Allah akan melapangkan kebaikan (kekayaan) untuk mereka dan memudahkan mereka mendapatkannya dari segala arah.

KEMENANGAN ISLAM DI TANGAN GENERASI TERBAIK


Sesungguhnya Islam akan menang di tangan generasi yang terbaik, yang taqwa adalah semestinya menjadi pra-syarat ke arah kemenangan yang diimpikan itu. Generasi yang terbaik adalah generasi yang memperaktikkan taqwa di dalam kehidupan mereka seharian, di dalam keluarga, organisasi dan perjuangan. Firman Allah di dalam surah al-Maidah : 35 :

يا أيها لذين آمنوا اتقوا الله وابتغوا إليه الوسيلة وجاهدوا فى سبيله لعلكم تفلحون

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepada-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya) dan berjuanglah pada jalan Allah, kamu pasti akan beroleh kejayaaan.
PENUTUP
Betapa pentingnya taqwa menjadi praktikal hidup kita. Dengan berbekalkan taqwa, kita akan menjadi mulia dan kita akan dibantu di dalam perjuangan. Bahkan dengan bermodalkan taqwa, kita akan berhasil mencipta sebuah kemenangan untuk perjuangan Islam yang sedang kita gerakkan ini. Allahu Akbar!!! 

0 comments: