Monday, November 21, 2011

Ulama dan Kedudukanya dalam Islam

Konsep ulama’ boleh ditakrif dengan berbagai definisi yang berlandaskan latar belakang kesarjanaan atau disiplin ilmu masing-masing. Perkataan ulama’ itu adalah kata jamak dari perkataan Arab iaitu 'alim (orang yang berilmu). Kemudian lahir pula perkataan 'Alamah iaitu orang yang benar-benar mengerti atau mengetahui dengan mendalam hakikat sesuatu. Menurut Dato' Dr. Harun Din, dalam Al Quran Karim terdapat dua kali sahaja perkataan ulama’ itu digunakan. Kedua-duanya merujuk kepada yang mendalami pengetahuan agama. Yang mendalami agama Islam diistilahkan dengan al ulama’.

Ada alif dan lam (AL ULAMA'). Ini bererti bahawa ulama’ adalah istilah khusus yang dimaklumi bahawa hanya diguna-pakai untuk yang mengetahui dan mendalami tentang agama Islam sahaja. Di dalam bahasa Arab ada banyak istilah selain ulama’ yang diguna bagi merujuk kepada bidang masing-masing. Contohnya (khabir atau khubara' untuk pakar yang lain dari bidang agama), Muhtarif atau muhtarifun, Fanni atau fanniyyun yang merujuk kepada technician, Muhandis arkitek, Tabib pakar perubatan.
Seperkara lain yang patut disebut bahawa perkataan ulama’ ialah perkataan jama'. Kalau untuk seorang disebut ‘alim mufrad. Akan tetapi sudah menjadi penggunaan yang menyeluruh dipakai ulama’ untuk merujuk kepada seorang seperti Imam Syafie adalah ulama’ terbilang. Dibolehkan demikian kerana hakikatnya seorang ‘alim dalam Islam memiliki dan mendalami berbagai bidang ilmu, ilmu bahasa Arab dengan segala cabangnya ilmu al-qawafi, badi', ma’ani, bayan, nahu saraf, usul feqh, ulum hadis, hadis, tafsir, ulum tafsir, ilmu al-adab al-arabi, arud, tarikh, mantiq, al-falsafah dan berbagai ilmu.
Nizam Sakamat Sakjeha merumuskan pengertian ulama’ pada tanggapan masyarakat umum adalah mereka yang amat ikhlas dalam melaksanakan tuntutan Al Quran dan As Sunnah. Amat prihatin dan berusaha keras untuk menegakkan yang hak dan memerangi kebatilan, mereka adalah orang yang tidak mungkin tenggelam dalam hawa nafsu.( Nizam Sakamat Sakjeha Nasaih wa Taujihat al-Mufakkirin wa Ulama’ al-Islam lil jamaat wal ahzab al-Islamiah:4).
Secara estimologinya, ulama’ membawa maksud "orang yang mengerti atau orang yang berilmu pengetahuan", iaitu mengetahui hakikat sesuatu dengan penuh keyakinan. Maka istilah ulama’ disandarkan kepada individu yang mengetahui mengenai Al Quran dan As Sunnah serta memahami kedudukan hukum dan sum ber hukum Islam yang berpandukan kepada sumber tersebut.
Mahyuddin Haji Yahya menyebut di dalam Encyclopedia Sejarah Islam, para ulama’ ialah golongan penting kerana mereka merupakan pakar dalam bidang agama khususnya dalam bidang tafsir, feqah, hadis, usuluddin dan segala cabang ilmu Islam.
Al Imam Abi Al-Qasim Jara’ Allah Mahmud Umar bin Muhammad Al Zamakhsyari, ulama’ ialah mereka yang mengetahui mengenai sifat Allah, keadilannya, ketauhidannya, sifat yang harus dan yang tidak harus ke atas-Nya, maka mereka kekuasaanya. Orang yang ilmunya bertambah maka bertambah takut ia kepada Allah Taala.
Menurut Syed Qutb pula, ulama’ ialah mereka yang mengkaji Al Quran yang penuh kemukjizatan dan mereka yang mengenal Allah dan mengetahui hakikat Allah, mengetahui kesan penciptaan Allah, mengetahui kesan kekuasaan Allah, dan bertaqwa kepada Allah, dan menyembah Allah dengan sebenar penyembahan. Ulama’ ialah orang yang mengetahui sifat Allah dan kebesarannya. Siapa yang bertambah ilmuya maka ia bertambah takut kepada Allah.
Prof. Dr. H. Abdul Karim Amrullah (HAMKA), Orang yang takut kepada Allah ialah orang-orang yang berilmu. Berdasarkan kepada ayat Fatir: 28. Di pangkal ayat Allah menggunkana perkataan "Innama". Menurut ahli nahu bahawa huruf "innama" itu ialah adaatu hasr yang ertinya "alat untuk membatas". Sebab itu ertinya yang tepat dan jitu ialah " hanya orang-orang yang berilmu jua yang akan merasa takut kepada Allah. Kerana kalau tidak ada ilmu tidaklah orang akan takut kepada Allah. Kerana timbulnya satu ilmu setelah diselidiki. Maka jelaslah bahawa pangkal ayat tadi Allah telah berfirman "tidakkah engkau lihat" maka kalau tidak dilihat tidaklah akan tahu. Kalau sudah dilihat dan diketahui dengan sendirinya akan mengertilah bagaimana kebesaran Allah, kekuatanya dan keagunganya, merasa dirinya kerdil di hadapan kekuasaan Allah, dengan ini akan menimbulkan takut. Kalau takut telah timbul nescaya timbullah ketundukan, lalu segala perintahnya dilaksanakan dan larangannya dihentikan.
Menurut Ibn Kathir, tidak lain orang yang merasa takut kepada Allah itu hanyalah ulama’ yang telah mencapai matlamat ma'rifat, iaitu mengenali Tuhan sebagai pemilik hasil kekuasaan-Nya dan kebesaran-Nya. Maha besar, maha kuasa, yang Maha Berilmu yang mempunyai sifat kesempurnaan dan yang mempunyai Asma' al-Husna. Apabila makrifat bertambah sempurna dan ilmu terhadapnya bertambah matang, ketakutan kepada-Nya bertambah besar dan bertambah banyak.
Imam Malik berkata, "ulama’ bukanlah kerana banyak menghafaz riwayat hadis, bahkan ilmu ialah NUR yang dinyalakan Tuhan dalam hati".
Menurut Imam As Syaukani, ulama’ ialah mereka yang takut kepada Allah dan mengetahui bahawa Allah berkuasa atas sesuatu. Dan ulama’ ini bukan mereka yang banyak menghafaz hadis tetapi mereka yang memiliki ilmu dan takut dengan Al­lah Taala.
Begitu juga Imam Al Qurtubi menyebut bahawa ulama’ ialah seorang yang takut kekuasaan Allah dan yakin Allah berkuasa membalas atas maksiat yang di lakukan. Daripada Ibn Abbas berkata, ulama’ ialah yang mengetahui tentang Tuhannya yang Rahman dan tidak syirik kepada Allah, dan menghalalkan apa yang dihalalkan Allah dan mengharamkan apa yang diharamkan Allah dan memelihara peringatan Allah dan mengetahui bahawa semua yang dilakukan di bawah pengetahuannya.
Dari Ibn Abi 'Umrah dari 'Akrimah dari Ibn Abbas kata-nya, "ulama’ ialah orang alim yang mengenal Allah dan tidak syirik kepada-Nya dan mengharamkan apa yang diharamkan dan memeli­hara wasiatnya".
Berkata Ahmad bin Saleh Al Misri dari Ibn Wahab dari Ma­lik katanya, “Sesungguhnya ‘alim ialah bukan orang yang banyak meriwayat ,sebenarnya alim ialah ilmu yang dimilikinya bercahaya. Allah menjadikan bercahaya dalam hatinya. Tetapi mereka takut ke­pada Allah bukan semata-mata banyak mengetahui riwayat (ilmu) Sebaliknya ia mengetahui kefarduan dan mengikut kitab sunnah dan apa yang dilakukan oleh Sahabat radhiallahuahum dan selepas dari mereka”.
Al Imam Al Maraghi ketika menafsirkan ayat dalam surah Al Fatir, “Ulama’ ialah orang yang takut azab Allah dengan banyak melakukan ketaatan kepada-Nya. Dengan ilmu yang mereka pelajari datanglah keyakinan, jika dibuat maksiat akan dibalas dengan seksa, demikian kalau dibuat baik maka mereka akan dibalas dengan syurga”.
Berkata Rabi' Bin Anas "Siapa yang tidak takut kepada Allah maka ia bukan ulama’" (Rujuk Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, juz 7:343-344 dalam tafsir-nya).
Dari Ibn Abi 'Umrah dari 'Akrimah dari Ibn Abbas kata-ny,a "ulama’ ialah orang alim yang mengenal Allah dan tidak syirik kepadanya dan mengharamkan apa yang diharamkan dan memelihara wasiatnya".
Imam Hassan Al Basri, “ulama’ ialah orang yang takut kepada Al­lah dan cenderung melakukan apa yang Allah suka dan menjauhkan apa yang Allah murka”.
Sheikh Abul Aziz Badri, ulama’ sebagai pewaris nabi iaitu yang menyambung kembali perjuangan dan dakwah Para Nabi. Ulama’ yang menjadi pewaris para nabi ialah ulama’ yang tidak takut kepada pemerintah yang zalim. Tidak takut kepada pihak yang kejam kerana kepatuhan mereka hanya kepada Allah SWT.
Ibnu Masud berkata ketakutan kepada Allah petanda seorang itu ‘alim. Yang berilmu bukanlah kerana ia banyak meriwayatkan hadis akan tetapi yang amat takut kepada Allah. Di tanya Saad bin Ibrahim siapakah yang paling alim di kalangan penduduk Madinah? Jawabnya, orang yang paling takut kepada Allah.
Ali Bin Abi Talib pernah berkata seorang ‘alim ialah seorang yag tidak pernah melakukan maksiat, tidak jemu mengingatkan dirinya dan manusia sekalian akan azab Allah SWT dan tidak membelakangi Al Quran.
KESIMPULANNYA
Secara umumnya perkataan ulama’ itu membawa satu pengertian yang luas, disandarkan kepada seorang yang memahami konsep agama secara syumul dan mendalam serta menzahirkanya dalam bentuk praktikal dan amalan hidup seharian. Apabila ulama’ dikaitkan dengan Islam ia berhubung rapat dengan Allah. Tidak cukup sekadar ada ilmu tetapi tidak takut kepada Allah SWT, begitu juga sebaliknya.
Ulama’ dikenali dengan ilmunya dan keteguhan pendiriannya. Mereka terpelihara daripada terjebak ke dalam perkara-perkara yang syubahat. Ulama’ dikenali dengan jihad, dakwah, pengorbanan dari segi waktu, harta benda, nyawa dan kesungguhan mereka di jalan Allah.
Ulama’ dikenali dengan ibadah dan khusyuk mereka kepada Allah. Ulama’ dikenali dengan jauhnya mereka dari keburukan dunia dan pujuk rayunya. Ulama’ dikenali dengan pengakuan oleh umat Islam dan jumhur-nya dari kalangan ahli hak.
Di antara perkara yang menunjukkan alimnya ulama’ dan kelebihannya ialah mengenai pengajiannya, fatwanya dan juga karangannya. Adapun pangkat dan jawatan atau yang seumpama dengannya, bukanlah dikira sebagai tanda yang menunjukkan kepada ilmunya. Ulama’ tidak ditentukan dan tidak dipilih melalui cara pengundian, tidak jugadengan cara penentuan jawatan. Sebagaimana di antara kalangan alim ulama’ dalam tarikh ummah terserlah dan nyata sebutannya (masyhur), menjadi imam atau pemimpin kepada ummah sedang dia (alim ulama’) tidak mengenai dan menjawat kedudukan atau memegang jawatan. Seumpama Imam Ahmad dan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah antara contohnya.
Ini tidak bermaksud setiap orang yang mempunyai jawatan dalam ilmu pengetahuan bukannya dia seorang yang alim, bahkan yang dimaksudkan di sini ialah kedudukan dan jawatan bukanlah dikira sebagai tanda yang menunjukkan ke atas ilmu, oleh itu kita dapati di sana ada di antara kalangan para ulama’ yang dilantik oleh hakim(kerajaan) menjadi pemerintah, qodhi, mufti dan seumpama dengannya, bahkan kadang-kadang kita dapati pada zaman pemerintahan yang zalim tetap ada para qadhi yang adil dan para mufti yang boleh dipercayai.
Memiliki segulung ijazah bukanlah jambatan mendapat gelaran sebagai ulama’, apatah lagi jika tidak terpancar dari dirinya kehidupan ilmu. Ulama’ bukan sahaja ada ilmu malahan ia memberi sumbangan kepada masyarakat, perkembangan dakwah dan kemajuan negara. Mereka ada­lah yang dianugerahkan Allah dengan ilmu pengetahuan, kemahiran serta pengalaman yang meluas dan mendalami dalam hukum halal, hal ehwal Islam dan mampu melakukan istinbat hukum dengan sumber-sumber hukum yang betul dan asli; Al Quran dan As Sunnah, ijma' dan qias dan Iain-lain sumber yang muktabar, dengan lain perkataan ulama’ adalah pakar rujuk agama yang berkemampuan (dari segi ilmu) dan disiplinnya.
Golongan ini juga mampu memahami, mengolah serta menganalisa maqasid syariah. Mereka adalah ahlul zikri yang boleh menganalisis maratib agama, nyawa, jiwa, akal dan intelektual, harta, nasab dan keturunan. Mereka juga mempunyai keperibadian yang mulia, dan dispilin yang tinggi dalam kehidupan. Mereka tidak boleh berpura-pura atau double standard sebaliknya ikhlas dan jujur samaada dalam kehidupan mahupun dalam pandangan, idea serta nasihat mereka.
Ulama’ sebenar tidak bersikap berat sebelah tidak menggunakan ilmu untuk kepentingan diri dan kumpulan tertentu sahaja. Kedudukan mereka sebagai ulama’ adalah satu pengiktirafan masyarakat. Jadi golongan ulama’ bukanlah merupakan golongan yang sewenang-wenangnya menggelar diri mereka ulama’. Pengiktirafan masyarakat amat penting kerana ilmu, sahsiah dan cara hidup mereka diakui.
Ulama’ dahulu tidak mendapat apa-apa sijil tetapi mereka diiktiraf oleh masyarakat sebagai Al Allamah (seorang berilmu
dan memiliki pengetahuan ting­gi). Kualiti ilmu dan penyampaian ilmu membuahkan pengiktirafan masyarakat kepada mereka.
Dari semua kutipan dan penjelasan di atas menunjukkan bahawa ulama’ adalah merujuk kepada mereka yang mengetahui dan mendalami pengetahuan agama. Dengan pengetahuan ini menjadikan mereka patuh kepada hukum Allah. Amat takut kepada kemurkaan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

0 comments: