Tuesday, April 8, 2014

Hijrah : Mencari Spirit Haraki

ilustrasi-hijrah_thumb-copy
Di tengah-tengah badai mentari terik kepanasan, tiba-tiba datang baginda Rasulullah SAW ke rumah Abu Bakar r.a mahu mengkhabarkan perihal satu perintah agung. Lantas di malam harinya mereka berdua meredah kegelapan malam, bergerak menuju ke Yathrib. Ketika itu terserlah perasan maiyatullah di gua Thur berdepan musuh yang mengekori mereka. Berhari-hari perjalanan akhirnya tiba ke Yathrib  di sekitar Rabiul Awwal. Seluruh penghuni Yathrib menyambut dengan wajah ceria gembira akan kehadiran baginda SAW sehingga Yathrib menjadi bandar yang bercahaya. [Madinah el-Munawwarah]
Hijrah dalam sejarah Rasulullah SAW adalah sebuah metamorfosis dari gerakan menjadi negara sebagaimana tulisan Ustaz Anis Matta. Katanya lagi “Tiga belas tahun sebelumnya, Rasulullah SAW melakukan penetrasi sosial yang sangat sistematik, di mana Islam menjadi jalan hidup individu; di mana Islam “memanusia” dan kemudian “memasyarakat”. Sekarang, melalui hijrah, masyarakat itu bergerak linear menuju negara. Melalui hijrah, gerakan itu “menegara”, dan Madinah adalah wilayahnya”.
Inti kepada fiqh hijrah ialah bagaimana kerja keras baginda Rasulullah  menyediakan individu-individu (rijal) yang akan menjadi Qaedah Sulbah kepada negara, yang nanti akan menjadi pelantar kepada satu peradaban.
Ia menyedarkan kita bahawa persoalan ‘tanah’ atau ‘bumi’ adalah perkara kedua. Lantaran itu Rasulullah SAW  bergerak mencari ruang baharu untuk menjadi tapak kekuasaan seperti di Habsyah dan Thaif bagi men’istiknaf’ kehidupan Islami. Ternyata Habsyah dan Thoif bukan tempatnya.Isu terasnya adalah manusia kerana yang akan berpijak di atas tanah adalah manusia. Di sanalah islam ditegakkan, dibangunkan, dioperasikan sebagai manhaj al-hayah dalam ruang fikiran, ruang jiwa dan ruang gerak manusia. Tanah akan menjadi penting setelah ada komuniti manusia baharu yang mewala’kan dirinya kepada allah dan bergerak secara legal dalam sebuah entiti yang diiktiraf.
Sejarah juga mencatatkan bahawa mereka yang terdahulu berhijrah ke Habsyah, menyusul kemudian ke Madinah selepas lima dan enam tahun kemudian. Mereka tiba dengan diketuai Ja’afar bin Abi Talib selepas umat Islam menang dari perang Khaibar , satu peperangan pengusiran atas pengkhianatan Yahudi di dalam perang Khandaq.
Dokumen Hijrah merekodkan empat perkara teras yang telah dilaksanakan oleh baginda saw. Ia menyamai apa yang akan dilakukan oleh mana-mana pemimpin negara . pertama, membangun infranstruktur dengan masjid menjadi simbolnya. Kedua menciptakan kohesi sosial melalui persaudaraan antara komuniti Quraisyh dan Yathrib menjadi Muhajirin dan Ansor. Ketiga membuat nota persepakatan antara komuniti melalui Piagam Madinah. Keempat merancang sistem pertahanan negara melalui perisytiharan jihad fi sabilillah.
Katanya  Ustaz Anis Matta lagi : “Lima tahun pertama setelah hijrah kehidupan dipenuhi oleh kerja keras Rasulullah SAW beserta para sahabat beliau untuk mempertahankan eksistensi dan kelangsungan hidup negara Madinah. Dalam kurun waktu itu, Rasulullah SAW telah melakukan lebih dari 40 kali peperangan dalam berbagai skala. Yang terbesar dari semua peperangan itu adalah perang Khandaq, di mana kaum Muslimin keluar sebagai pemenang. Setelah itu tidak ada lagi yang terjadi di sekitar Madinah karena semua peperangan sudah bersifat ekspansif. Negara Madinah membuktikan kekuatan dan kemandiriannya, eksistensinya, dan kelangsungannya. Di sini, kaum Muslimin telah membuktikan kekuatannya, setelah sebelumnya kaum Muslimin membuktikan kebenarannya”.
Apa yang dapat difahami ialah tujuan hijrah ialah menegakkan sebuah negara berdaulat yang dengannya tertegaknya wilayah kekuasaan syariat islam. Sebuah negara memerlukan dua bahan dasar iaitu manusia dan sistem. Manusia adalah pengisi struktur manakala sistem ialah peraturan atau sistem nilai dalam mengatur urus tadbir negara.
Namun di sana faktor yang mendokong untuk menegakkan negara iaitu ‘tanah’. Tidak ada negara tanpa tanah. Tanah akan menjadi bererti jika dihuni manusia kerana di sana ada ruang hidup, ruang isti’mar, ruang untuk memastikan kalimah allah dilaksanakan sebagaimana kata Rub’I ibn ‘Amir dengan kata-kata mahsyurnya.
“sesungguhnya allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada allah, dari penindasan agama-agama selain Islam kepada keadilan Islam , dari dunia yang sempit kepada dunia yang luas dengan kerahmatan islam..”
Faktor lainnya juga adalah ‘jaringan sosial’ iaitu individu yang berinteraksi dengan manusia lain dalam wilayah baharu sehingga timbul hukum baharu berkaitan kafir harbi dan kafir dzimmah seperti harb, isti’anah, tahaluf, hudnah dan sebagainya.
Keempat-empat unsur ini, manusia, sistem, tanah dan jaringan sosial disinergikan dengan unsur-unsur  ilmu dan kepimpinan sehingga tanzim menjadi matang dan bergerak dalam wilayah amal yang baharu. Tanzim atau  jamaah bergerak secara evolusi dari fasa jamaah menuju negara dan bersiap menjadi nukleus  asas peradaban. Begitulah transformasi terjadi dari fasa ta’sis kepada infitah , pelebaran fikrah, pertembungan dan akhirnya ‘tamkin’[kekuasaan].
Hakikat ini perlu difahami oleh gerakan Islam bahawa :
  1. Matlamat utama gerakan Islam ialah memastikan Islam tertegak sebagai satu sistem sehingga sistem ini memberi cahaya rahmat dan perlindungan kepada manusia. [hatta la takuuna fitnah wa yakuna addin kulluhi lillah].
  2. Proses men’isti’naf’ kehidupan Islam yang syumul memerlukan kepada manusia sebagai pelaksana, tanah sebagai wilayah kewujudannya dan sistem yang akan mengurus jaringan komuniti dan sosialnya.
  3. Gerakan Islam adalah gerakan yang berfasa ia bukan gerakan yang tidak terancang. Gerakan yang tidak hanya berorientasikan siasah dalaman semata-mata tetapi ia adalah gerakan yang berakumulatif dengan masa, berinteraksi dengan manusia sehingga menumbuhkan wilayah wala’ kepada aqidah di bawah satu tanah yang merdeka untuk ditatbiqkan Islam sebagai satu sistem hidup.
  4. Tugas menyediakan rijal atau motor negara adalah keutamaan dalam hirarki gerakan Islam. Rijal ini akan menjadi pilar atau qaedah sulbah bagi kelansungan akidah dan eksistensi negara. Tanpa rijal negara tidak memiliki makna.
  5. Membina rijal di dahulukan dari membina negara [bina ar-rijal muqoddam min bina ad-daulah]. Ini kaedah fiqh haraki terpenting dalam manhaj bergerak bagi mana-mana jamaah Islam. Ia bukan menidakkan persoalan negara tetapi membina batu asas untuk perjuangan panjang bagi membentuk satu peradaban. Proses tarbiyah dan kaderisasi adalah asas pembinaan rijal, juga proses memanusiakan manusia menjadi rijal.
  6. Rijal yang dibentuk harus diupayakan peranan di wilayah amal yang lebih luas dan mencabar bagi keperluan negara. Menyiapkan tokoh-tokoh di institusi-institusi penting dan strategik adalah satu dari maksud memberdaya sumber manusia di dalam tanzim. Ini penting sebagai persiapan mengambil alih fungsi negara dalam konteks sistem demokrasi berparlimen.
  7. Peningkatan wilayah amal yang luas, peningkatan kuantiti komuniti negara perlu keseimbangan [tawazun] dengan kualiti qaedah sulbah [ manusia tonggak].
  8. Wilayah amal negara yang luas berkehendak gerakan islam terus mencari pendekatan terbaik untuk  berinteraksi dengan non muslim melalui dialog atau apa-apa cara sehingga mereka tunduk pada kekuasaan Islam dan tidak mencabar kedaulatan islam  yang termaksud dalam dokumen persepakatan sebuah negara.
Ya Hijrah, bukan satu escapism, bukan satu tanda kekalahan dari bertarung, bukan terjadi dari ‘vacum’ yang kosong, tetapi ia adalah perancangan Allah untuk mematangkan perjalanan gerakan Islam. Hijrah adalah menefestasi satu mata rantai pembinaan [takween daqiq]  manusia yang mendalam serta takhtit munazzhom [perancangan tersusun] , dibingkai dalam kalungan iman dan ukhuwwah yang menzahirkan makna pengorbanan, persaudaraan dan jihad. Hijrah menjustifikan gerakan Islam beranjak dari fasa ‘tandhim’ kepada fasa ‘bernegara’, dari fasa eksklusif kepada inklusif,  dan dari fasa ‘taasis’ kepada fasa ‘tatwir’.
Di sebalik peristiwa ini muncul para tokoh, rijal, pejuang yang dilahirkan dari medium tarbiyah. Rijal yang menjadi katalis negara berdepan ketumbukan munafikin, musyrikin dan Yahudi. Hasil dakwah dan pembinaan itulah mencipta rijal yang mengisi kota madinah dan mengkristal secara cepat. Ia terbina dengan kuat dan ampuh.
Inilah misi Hijrah, mengkaderisasi manusia untuk satu negara menuju satu peradaban. Misinya melahirkan manusia soleh yang kuat atau manusia kuat yang solih sebagaimana kata-kata Umar Al-Khatab.
“ Ya allah, lindungilah kami dari orang yang bertaqwa yang lemah dan tidak berdaya, dan lindungilah kami dari orang-orang jahat yang perkasa dan cuai.”.
Inti Hijrah ialah melahirkan rijal-rijal sebagai founder dakwah dan arkitek harakah di dalam sebuah negara untuk memeta peta amal islami sehingga tidak ada lagi bumi yang tidak disyahadahkan dengan kalimah dan syariah ilahi. Kisah mereka telah terakam dalam babak-babak Hijrah yang menakjubkan dan mengkagumkan pada makna faham, ikhlas, amal, taat, jihad, tazhiyyah,tajarrud, thabat,  ukhuwwah dan thiqah.
Ya Hijrah satu metamorfosis haraki dari ‘satu jamaah’ menuju ‘satu negara’ yang merdeka akidah dan tanahnya.

0 comments: