Tuesday, April 9, 2013

Akhlak Dan Disiplin Di Dalam Harakah Islamiah - TGHA


Muqaddimah




Kemantapan sebuah Harakah Islamiah berhubung erat dengan keteguhan aqidah atau prinsip perjuangannya dan keteguhan pegangan ahlinya di semua peringkatterhadap aqidah dan prinsip itu sehingga membuahkan wala' dan melengkapkan diri dengan akhlak dan disiplinnya.

Perlu difahami bahawa tidak memadai sekadar hanya berdiri di atas dasar dan prinsip yang sebenarnya tanpa membina peribadi dengan akhlak berjamaah, oleh itu di bawah ini dikemukakan beberapa perkara yang menjadi sifat-sifat yang mesti dipunyai oleh pejuang-pejuang Is­lam untuk dijadikan perbincangan dan muhasabah kepada diri kita sendiri.


Akhlak Berjamaah
Supaya perjuangan kita diterima, direstui oleh Allah s.w.t dan mendapat pertolongan daripadaNya, maka kita mestilah melengkapkan diri dengan sifat-sifat berikut:


1.   Ikhlas
Pejuang Islam mestilah ikhlas dengan mempunyai niat yang sebenar kerana Allah, menuntut keredhaanNya dengan menegakkan agamaNya sehingga didaulatkan.

عَنْ أَبِى مُوسَى قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِىِّ - صلى الله عليه وسلم - فَقَالَ الرَّجُلُ يُقَاتِلُ حَمِيَّةً وَيُقَاتِلُ شَجَاعَةً وَيُقَاتِلُ رِيَاءً ، فَأَىُّ ذَلِكَ فِى سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ « مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِىَالْعُلْيَا ، فَهْوَ فِى سَبِيلِ اللَّهِ »
Abu Musa Al-Ashaari menceritakan: Seorang Arab Badwi datang menemui Rasulullah, dia berkata: “Orang yang berperang kerana mahukan harta rampasan, orang berperang kerana mahukan disebut orang, berperang kerana riya', maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah?” Sabda Rasulullah: “Sesiapa yang berperang supaya 'kalimatullah' itu menjadi tinggi, maka dialah yang berperang di jalan Allah”.
(Bukhari 6/2714 no 7020, Muslim 3/1512 no 1904)


Ini bermaksud perjuangan untuk menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan samada melalui pilihanraya sehinggalah berperang di negeri, tidak ada caralain daripada mestilah dengan niat yang ikhlas.

Firman Allah dalam surah Al-Bayyinah Ayat 5:
Maksudnya: “pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan Ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. danyang demikian itulah ugama yang benar”.


Apabila mengikhlas niat kerana Allah s.w.t semata-mata maka mestilah membersihkan hati daripada sifat-sifat yang merosakkan niat seperti riya’, 'ujub dan sum'ah.


2.      Istiqamah
Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung ke arah yang lain, hanyut bersama arus, jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan. Allah s.w.t berfirman kepada Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s yang menghadapi Firaun dalam menegakkan Islam di zamannya:

Firman Allah dalam surah Yunus Ayat 89 :
Maksudnya: Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang Yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)”.


عَنْ سُفْيَانَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الثَّقَفِىِّ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قُلْ لِى فِى الإِسْلاَمِ قَوْلاً لاَ أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا بَعْدَكَ - وَفِى حَدِيثِ أَبِى أُسَامَةَ غَيْرَكَ - قَالَ « قُلْ آمَنْتُ بِاللَّهِ فَاسْتَقِمْ »
Apabila AbuSufian bin Abdullah berkata kepada Rasulullahs.a.w:“Katakanlah kepada saya dengan kata-kata yang jelas sehingga saya tidak perlu lagi bertanya seseorang yang lain darimu”; Sabda Rasulullah: “Katakanlah aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah beristiqamah”.
[Muslim 1/194 no 168 ]

Para Rasul dan Sahabat adalah orang yang paling istiqamah, tetapi mereka diperintah juga supaya beristiqamah. Ini menunjukkan bahawa sifat istiqamah sangat penting dan mestilah berterusan, kerana ia adalah tonggak dan cara untuk mendapat pertolongan Allah, bahkan orang yang tidak istiqamah amalannya sia-sia.


Rasulullah s.a.w bersabda:
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ - رضى الله عنه - عَنِ النَّبِىِّ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ « اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ » . قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَا هُنَّ قَالَ « الشِّرْكُ بِاللَّهِ ، وَالسِّحْرُ ، وَقَتْلُ النَّفْسِالَّتِى حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ ، وَأَكْلُ الرِّبَا ، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ ، وَالتَّوَلِّى يَوْمَ الزَّحْفِ ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلاَتِ »
Yang bermaksud: Hadis Abu Hurairah r.a:Rasulullah telah bersabda: “Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu iaitu menyebabkan kamu masuk Neraka atau dilaknati oleh Allah”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu?” Rasulullah bersabda: “Mensyirikkan Allah iaitu menyekutukan-Nya, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan memfitnah perempuan-perempuan yang baik iaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya, juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya dengan fitnah melakukan perbuatan zina”.

(Bukhari 10/142 no 2766, Muslim 1/64 no 272)


3.      Taat
Ketaatan lahirdaripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut, apabila pemimpin mempunyai keikhlasan dan menyatakan pengorbanan yang sebenardan memberi perhatian kepada perjuangan dan pengikut-pengikutnya.

Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa lapang dan sempit dalam perkara yang tidak maksiat.

Firman Allah dalam Surah An Nisa' Ayat 59 :
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

Rasulullah telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai'ah.Di antaranya ialah“Baitul 'Aqabah” yang terkenal sebelum melakukan hijrah.


Di dalam Bai'ah itu Rasulullah bersabda:
قال جابربنعبداللهفقلنايَا رَسُولَ اللَّهِ عَلاَمَا نُبَايِعُكَ قَالَ « تُبَايِعُونِى عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِى النَّشَاطِ وَالْكَسَلِ والنَّفَقَةِ فِى الْعُسْرِ وَالْيُسْرِ وَعَلَى الأَمْرِ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْىِ عَنِ الْمُنْكَرِوَأَنْ تَقُولُوا فِى اللَّهِ لاَ تَخَافُونَ فِى اللَّهِ لَوْمَةَ لاَئِمٍ وَعَلَى أَنْ تَنْصُرُونِى فَتَمْنَعُونِى إِذَا قَدِمْتُ عَلَيْكُمْ مِمَّا تَمْنَعُونَ مِنْهُ أَنْفُسَكُمْ وَأَزْوَاجَكُمْ وَأَبْنَاءَكُمْ وَلَكُمُ الْجَنَّةُ »

Yang bermaksud: “Berbai'ahlah kepadaku di atas kewajipan taat di masa cergas dan di masa malas, sanggup berbelanja di masa susah dan senang, menjalankan kewajipan menyuruh yang baik dan mencegah dari kemungkaran, bangun menyatakan agama Allah tanpa terjejas walaupun dicela, sanggup menolong aku apabila aku tiba kepada kamu dan sanggup mempertahankan aku …”.

[Masnad Ahmad 30/364, no 14830]




Ketaatan Yang Dituntut
a)      Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan, tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan sehingga menjadi kelam-kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam gerakan yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau gerakan dalam gerakan.

b)      Ketaatan itu membawa kepada penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti atau jamaah dan melaksanakan amal jamaie yang tidak boleh dijejaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti bercelaru dan tidak selaras antara satu sama lain.

c)      Ketaatan juga yang dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang terlalu ke depan ‘advance’, ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.


4.      Wala'
Kita melihat betapa kumpulan yang tidak Islam mengalami kelemahan dan kepupusan termasuk yang pernah memerintah negara besar, begitu juga dengan pertubuhan yang meletakkan nama Islam tetapi tidak mengambil Islam secara menyeluruh.

Oleh itu maka penekanan yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan wala' dan disiplin dalam jamaah yang dapat memelihara ketaatan dan perjalanan secara istiqamah.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al Maidah Ayat 55 :
Maksudnya: “Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang Yang beriman, Yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah)”.

5.      Disiplin

Firman Allah dalam Surah Ali Imran Ayat 200 :

Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi Segala kesukaran Dalam mengerjakan perkara-perkara Yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)”.


Perkara yang ditakrifkan dengan disiplin ialah sebagaimana berikut:

1)      Tatatertib dan kelakuan diri.
2)      Peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik.
3)      Kepatuhan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan.
4)      Hukuman atau denda kerana melanggar peraturan.

Penutup

Akhlak dan disiplin penting bagi setiap ahli demi kebaikan jamaah.Setiap ahli mesti berdisiplin dan melengkapkan diri dengan akhlak Islam bagi meningkatkan kejayaannya kepada sasaran dakwah dan matlamat kerana tindakan individu ahlinya menjadi contoh dan perhatian di samping dapat mewujudkan jentera dalaman yang baik bagi mentadbir segala kegiatannya.

Rujukan


Al-Quran Al-Karim
Al-Mukhtasar Al-Jami’ Al-Sahih, Muhammad bin Ismail Al-Bukhari, Dar Ibn Katsir, Yamamah, Beyrut, 1987, ta’aliq Dr Mustafa Bugha.



Sahih Muslim, Muslim bin Al-Hajjaj Al-Qusyairiy Al-Nisaburiy, Dar Ihya’ Al-Turath, Beyrut, tahqiq Dr Fuad Abd Baqi.


Musnad Ahmad, Abu Abdillah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal, Kementerian Wakaf Mesir.

0 comments: