Saturday, November 19, 2011

WABAK SEPANJANG JALAN - 'AL FUTUR'

بسم الله الرحمن الرحيم
salam ketenangan
EmailPrint
Al Futur mempunyai dua makna, (1) Terputus, terhenti sesudah berjalan, atau diam sesudah bergerak. dan; (2) Malas, menangguh, melengah-lengahkan sesudah bergerak aktif dan bersungguh-sungguh. Mengikut kamus Lisan al Arab, futur diolah seperti berikut : sesuatu itu lemah - Kepanasan mulai reda - dan bererti seseorang itu mulai lemah, yang membawa kefahaman : Berhenti sesudah bersungguh atau lembut sesudah keras. Maka di sini Al Futur memberikan maksud, suatu penyakit yang mungkin menimpa sebahagian daripada para - amilin - bahkan ada amilin yang sudah pun ditimpa penyakit ini.

Tahap al Futur yang paling rendah ialah malas, menangguh, melengah-lengahkan dan tahap yang paling tinggi ialah berhenti terus atau diam sesudah bergerak cergas secara berterusan.   

Firman Allah yang menyebut perihal Malaikat, maksudnya "Dan (ingatlah) segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua, dan Malaikat yang berada di sisiNya tidak membesarkan diri dan tidak enggan (berhenti) daripada beribadat kepadaNya dan tidak pula mereka merasa penat dan letih" [al Anbiya’:19-20] 

Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya para Malaikat sentiasa beribadat kepada Allah, membersihkan Allah daripada sifat-sifat yang tidak layak bagi-Nya, mereka solat dan mengingati Allah siang dan malam tidak merasa lemah, letih dan jemu.

FAKTOR BERLAKUNYA AL FUTUR 

Di antara sebab-sebab yang mungkin meresapnya al Futur dalam jiwa seseorang ialah disebabkan :-

1) SIKAP KETERLALUAN DALAM AGAMA

Sikap keterlaluan dan berlebih-lebihan yang melampaui batas dalam melakukan ketaatan kepada ALLAH atau menafikan hak kerehatan yang sepatutnya ke atas diri, atau menafikan semua kebaikan yang diperlukan oleh badan. Ini boleh membawa seseorang itu kepada keletihan dan kejemuan. Akhirnya meninggalkan perjuangannya bahkan kemungkinan besar akan mengheretnva memilih jalan lain sebalik jalan yang pernah diperjuangkannya. Maka amilin ini akan mengubah sikapnya itu dari sikap keterlaluan kepada sikap cuai dan lalai. Daripada ketegasan kepada sambil lewa. Ini disebabkan manusia mempunyai kemampuan dan keupayaan yang terhad, apabila ia bertindak melampaui keupayaannya, ia pasti akan berhadapan dengan al Futur. Maka ekoran dari itu ia menjadi malas dan tidak mampu meneruskan perjuangan.

Mungkin di sinilah rahsianya mengapa Islam memberi amaran keras dan melarang secara jelas agar tidak keterlaluan dan melampaui batas dalam sesuatu perkara.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, "Jauhilah sikap keterlaluan dalam agama, maka sesungguhnya telah binasa mereka yang sebelum dari kamu disebabkan keterlaluan mereka dalam agama".

Rasulullah S.A.W juga pernah bersabda, "Binasalah orang-orang yang keterlaluan (bersikap melampau)". Baginda mengulanginya tiga kali". 

Kalimah Al Mutanatti'un ialah mereka yang melibatkan diri dalam agama secara keterlaluan, sama ada perkataan atau perbuatan. Mengenai hal ini Baginda Rasulullah S.A.W. bersabda sebagaimana maksudnya, "Janganlah kamu membebankan diri kamu, maka nanti ia akan menjadi bebanan ke atas kamu. Sesungguhnya mana-mana kaum yang membebankan diri mereka, maka sesungguhnya mereka telah dibebankan (hasil daripada perbuatan mereka), maka saki baki mereka (orang yang suka membebankan diri) boleh didapati di gereja-gereja dan rumah-rumah ibadat, mereka berpangkat pendita, kesemuanya adalah reka cipta mereka, bukan kami mewajibkan ke atas mereka".

Rasulullah S.A.W juga bersabda, maksudnya "Sesungguhnya agama itu adalah mudah dan tidak seseorangpun yang memberati agama melainkan ia dikalahkan (kecundang)".

Hadis Nabi S.A.W menceritakan : Ada tiga orang sahabat Rasulullah S.A.W mengunjungi isteri-isteri baginda bertanyakan amalan-amalan Rasulullah S.A.W. yang tidak diketahui umum. Apabila diberitahu (diceritakan) tentang ibadat Nabi S.A.W. mereka merasai apa yang mereka lakukan selama ini sangat sedikit, lantas mereka berkata: Di mana kita dengan Rasulullah S.A.W. pada hal Baginda diampunkan dosanya yang dahulu dan yang kemudian. Salah seorang berkata: Aku akan sembahyang sepanjang malam, seorang lagi berkata: Aku akan berpuasa  tanpa henti (sepanjang masa). Manakala yang seorang lagi berkata: Aku akan menjauhkan diri daripada wanita-wanita dan tidak akan berkahwin sama sekali. (setelah baginda mendapat berita keputusan mereka, maka Rasulullah S.A.W. datang berjumpa mereka lantas bersabda: "Kamukah yang berkata begini-begitu?. Demi Allah sesungguhnya akulah yang paling takut kepada Allah, jika dibandingkan dengan kamu dan akulah yang paling bertakwa kepada Allah lebih daripada kamu, tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku bersembahyang dan aku tidur dan aku juga berkahwin dengan wanita-wanita. Sesiapa yang berpaling dari sunnahku dia bukan dari golonganku".

Dalam hadis yang lain diriwayatkan dari ‘Aishah R.A.H : Dari 'Aishah r.a.h ketika rumahnya didatangi seorang wanita  dari kabilah Asad, ketika itu Baginda Rasulullah S.A.W berada di rumahnya (‘Aishah). Maka Nabi S.A.W bertanya siapa perempuan ini? Lantas Aishah menjawab: Perempuan ini menceritakan tentang solatnya (banyak melakukan ibadah) maka Nabi S.A.W berkata : "Cukuplah kamu hendaklah lakukan apa yang kamu terdaya. Demi Allah sesungguhnya Allah Taala tidak jemu sehinggalah kamu jemu dan amalan agama yang disukai Allah selama mana ia dilakukan secara berterusan oleh pengamalnya".

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, "Lakukanlah amalan sekadar kamu mampu, maka sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu jemu sesungguhnya amalan yang disukai Allah ialah yang dilakukan secara berterusan meskipun sedikit".

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa terdapat seorang bekas hamba perempuan Rasulullah S.A.W. yang berpuasa setiap hari dan ber-qiamullail setiap malam. Maka diceritakan halnya kepada Nabi S.A.W bahawa ia berpuasa setiap hari dan selalu melakukan solat malam. Lantaran itu Baginda Nabi S.A.W-pun bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya setiap amalan itu ada kecergasannya. Setiap kecergasannya ada perlahannya, maka sesiapa yang keperlahanannya mengikut sunnahku, ia telah mendapat pertunjuk dan sesiapa yang perlahannya lain daripada itu maka dia telah sesat".

2) MEMBAZIR DAN MELAMPAUI BATAS DALAM PERKARA HARUS

Pembaziran dan melampaui batasan di dalam mengambil makanan atau sesuatu yang diharuskan akan memberi kesan negatif kepada tubuh badan; seperti badan akan menjadi terlalu gemuk dan meningkatnya rangsangan syahwat. Ekoran dari itu dia akan merasa keberatan dan malas untuk bertindak walaupun dia tidak berhenti terus. Maka di sinilah rahsianya kenapa Allah S.W.T dan RasulNya melarang dan memberi amaran tentang pembaziran.

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Wahai anak Adam ambillah (pakaian) perhiasan kamu (tutup aurat) pada setiap kali memasuki masjid. (solat) Makan dan minumlah kamu asalkan jangan berlebihan.Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak kasih atau suka orang-orang yang boros (orang yang melampaui)" [Al A'raaf:31].

Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud, "Tidak memenuhi oleh anak Adam sesuatu bekas yang lebih buruk daripada memenuhi uncang perutnya".

Ulama terdahulu telah mengenal pasti tentang kesan-kesai negatif ke atas mereka yang terlibat secara berleluasa dalam mengambil dan menggunakan perkara yang harus. Maka mereka begitu berwaspada terhadap perkara ini.

Sehubungan dengan ini 'Aishah R.A.H telah meriwayatkan, "Berlaku bala pertama ke atas umat ini selepas Nabinya (wafat) ialah kekenyangan. Sesungguhnya sesuatu kaum itu apabila perut mereka kenyang maka badan mereka akan gemuk, maka hati mereka akan lemah dan syahwat mereka akan memuncak".

Umar Al Khattab R.A turut menyatakan : "Berjaga-jagalah kamu dengan perut dalam mengambil makanan dan minuman. Maka sesungguhnya ia boleh membawa kerosakan pada badan dan ditimpa penyakit yang menyebabkan malas untuk melaksanakan solat. Hendaklah kamu bercermat (sederhana) dalam mengambil makanan atau minuman. Sesungguhnya ia akan memberi kebaikkan kepada tubuh badan dan menjauhkan daripada pembaziran. Dan sesungguhnya Allah Taala benci kepada pendita-pendita yang gemuk, dan sesungguhnya seorang itu tidak akan binasa sehinggalah nafsunya mengatasi agamanya".

Abu Sulaiman al Darani menyatakan : "Sesiapa yang sentiasa berada dalam kekenyangan ia akan ditimpa enam penyakit. Hilang kemanisan bermunajat, tidak mampu menghafaz hikmah dan kebaikan, hilang simpati terhadap makhluk lain. Ini disebabkan apabila seseorang itu kenyang ia beranggapan bahawa orang lain juga kenyang sepertinya, berkeberatan dan malas untuk melakukan ibadat, syahwatnya kian meningkat, seluruh orang mukmin berduyun-duyun ke masjid dan orang yang kenyang sentiasa berlegar-legar di tong sampah (membuang najis)". 

3) MUFARAQAH JEMAAH DAN MEMILIH UZLAH

Perjuangan memerlukan masa yang panjang, penuh dengan ranjau dan halangan. Perjuangan juga mempunyai peringkat-peringkat yang perlu ditempuhi. Kesemuanya ini memerlukan kepada pembaharuan. Apabila seseorang itu sentiasa bertindak atau berjuang bersama-sama jemaah maka ianya akan lebih aktif dan sentiasa meningkat keyakinan dan keazamannya. Sebaliknya apabila seseorang itu meninggalkan perjuangan bersama jamaah bahkan memilih jalan berjuang secara bersendirian, dia akan kehilangan teman yang dapat memberangsangkan, juga menggalak dan menasihatinya di samping memperingatkannya tentang Tuhannya. Lama-kelamaan ia akan lemah dan jemu. Akhirnya ia akan bertindak ala kadar walaupun ia tetap berhasrat bekerja untuk Islam.

Maka sebab itulah Islam sentiasa menegaskan agar kita sentiasa bersama jamaah, jangan berpecah belah. Bersatu dalam perjuangan.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : "Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (agama) dan jangan kamu berpecah belah" [Ali Imran:103].

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : "Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan" [al-Maidah:2].

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : "Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatan" [al Anfaal:46].

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : "Janganlah kamu jadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang berpecah-belah dan berselisih (dalam agama mereka) selepas datang kepada mereka keterangan yang jelas dan nyata. Dan mereka yang bersikap demikian akan beroleh azab seksa yang besar" [Ali Imran:105]

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud, "Hendaklah kamu bersama jamaah dan janganlah kamu berpecah. Sesungguhnya syaitan akan menghampiri orang yang berseorangan dan menjauhkan diri dari orang yang berdua. Sesiapa yang ingin berada di tengah syurga, maka la hendaklah sentiasa bersama jamaah".

Sabda Baginda lagi yang bermaksud, "Sesiapa yang meninggalkan jamaah walaupun sejengkal, maka ia telah melekangkan ikatan Islam dari lehernya". 

Aku memerintahkan kamu supaya taat dan berhijrah, berjihad dan bersama jamaah. Maka sesiapa yang meninggal jamaah dalam kadar sejengkal, maka matinya itu adalah mati jahiliyah.

Orang Mukmin yang bergaul dengan orang ramai dia bersabar dengan kejahatan mereka, ia memperolehi pahala yang lebih besar dari seseorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai dan tidak pula sabar dengan kejahatan mereka 

Perkara ini betul-betul difahami oleh umat yang terdahulu, maka oleh itu mereka sentiasa bersama jamaah dan menggalakkan agar terus bersama jamaah dan mempertegaskannya sebagai satu kewajipan.

Saiidina Ali R.A pernah mengatakan, "Kekeruhan yang terdapat dalam jamaah lebih baik daripada kejernihan yang terdapat pada diri perseorangan".

Abdullah bin Mubarak juga pernah bermadah : "Jika tidak kerana jamaah tidak ada jalan untuk kita yang lemah ini menjadi mangsa rompakan golongan yang memiliki kekuatan".

4) KURANG MENGINGATI MATI DAN HARI AKHIRAT

Bila seseorang itu lupa kepada mati dan hari akhirat ia boleh membawa kepada tumpulnya keazaman dan hasrat, juga akan menjadikannya lengah dalam melakukan tindakkan amal jamaah. Bahkan dalam setengah keadaan ia akan berhenti terus dari perjuangan. Maka di sinilah kita fahami hikmah kenapa Nabi S.A.W. menyuruh kita menziarahi kubur, walaupun pada awalnya Baginda melarang.

Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud, "Aku telah melarang kamu menziarah kubur, sekarang ziarahlah, semoga kamu mendapat pengajaran".

Nabi S.A.W. bersabda, "Aku telah melarang kamu dari menziarahi kubur, maka ziarahilah kubur sesungguhnya menziarah kubur menjadikan kamu zuhud didunia dan mengingatkan kamu tentang akhirat".

Sehubungan dengan ini kita juga dapat fahami hikmah di sebalik galakan Nabi S.A.W. supaya sentiasa mengingati mati.

Baginda S.A.W bersabda yang bermaksud, "Sesiapa daripada kamu yang berasa malu kepada Allah maka janganlah ia tidur malam, melainkan ia meletakkan ajalnya di depan dua matanya. Dan hendaklah memelihara perut dan anggota yang bersambung dengannya dan jagalah kepala dan telinganya. Dan dia hendaklah mengingati mati dan kehancuran yang akan berlaku dan dia hendaklah meninggalkan perhiasan dunia".

5) PENGABAIAN MELAKUKAN IBADAT HARIAN

Pengabaian melakukan ibadat harian seperti tidak melakukan solat fardhu disebabkan berjaga malam tanpa sebarang sebab yang munasabah selepas Isyak, juga mengabaikan solat rawatib,  qiamullail, sunat dhuha, atau membaca al Quran, berzikir dan tidak menghadiri sembahyang di masjid atau tidak menghadiri sembahyang berjamaah tanpa sebarang keuzuran. Kesemuanya ini akan meninggalkan kesan yang negatif. Tahap yang paling  rendah bagi kesan tadi ialah al Futur. Di mana ia akan malas dan begitu berat untuk menunaikan tugas atau dia terus berhenti dari menjalankan tugasnya.

Dalam hubungan ini Nabi S.A.W mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud : "Apabila salah seorang dari kamu tidur syaitan membuat tiga  ikatan dibahagian tengkok kamu dan setiap ikatan diukir dengan perkataan engkau mempunyai malam yang panjang tidurlah. Apabila ia terjaga dan menyebut Allah, maka sa tu ikatan itu akan terungkai, dan apabila ia berwudhu, ikatan kedua akan terungkai, dan apabila ia sembahyang maka ikatan ketiga terungkai. Maka paginya orang itu akan cergas dan ceria kalau tidak, ia akan berada dalam keadaan monyok dan malas".

6) MENGAMBIL MAKANAN YANG HARAM ATAU SYUBHAH

Perkara ini berlaku apabila seseorang itu membiarkan dirinya terlibat dengan makanan yang haram atau syubahah, yang berpunca dari pengabaian atau kurang bercermat di dalam memperolehi sumber hidup sehariannya. Atau hasil dari jenis kerja yang dilakukannya itu merupakan perkara syubahah. Atau berpunca dari sebab-sebab lain.Orang yang terlibat dengan cara yang demikian akan dibalas oleh Allah. Hukuman yang paling rendah diterima di dunia, ia akan bersifat malas untuk beribadat, atau tidak akan melakukan ibadat langsung, atau ia tidak lagi merasai sebarang kelazatan dan kemanisan untuk menyembah dan bermunajat kepada Allah. Maka mungkin di sinilah rahsianya Islam menyeru supaya sentiasa memakan makanan yang halal dan bercermat dalam perkara ini. Islam juga mengarahkan supaya menjauhkan diri dari mengambil makanan yang haram sekalipun makanan itu ditahap syubhahnya yang paling rendah.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : "Wahai manusia makanlah apa yang ada di dunia, makanan yang halal dan baik (bersih) janganlah kamu mengikuti jejak syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata" [Al Baqarah:168]

Firman Allah S.W.T lagi yang bermaksud : "Maka hendaklah kamu makan apa yang Allah rezekikan yang dihalalkan kepada kamu (makanan) yang halal dan baik dan hendaklah kamu bersyukur ke atas nikmat Allah seandainya kamu menyembah Allah" [an Nahlu:114]

Firman Allah S.W.T lagi yang bermaksud : "Wahai Rasul makanlah makanan yang baik dan kerjakanlah amalan yang soleh, sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu lakukan" [Al Mukmin:51]

Sabda Rasul S.A.W yang bermaksud : "Setiap tubuh badan yang dagingnya tumbuh hasil daripada makanan yang haram maka api neraka adalah lebih utama untuknya".

Sabda Rasul S.A.W lagi yang bermaksud : "Halal adalah jelas dan haram adalah jelas. Adapun di antara keduanya perkara yang syubahah dari perkara dosa maka sesiapa yang meninggalkan perkara syubahah maka ia akan lebih meninggalkan perkara yang ternyata haramnya. Dan sesiapa yang berani melakukan sesuatu yang diragui tentang dosa, maka ia akan di bimbangi terlibat perkara yang ternyata dosanya. Dan maksiat itu adalah garisan larangan Allah. Sesiapa yang berlegar di sekeliling garisan larangan, maka ia akan dibimbangi akan mencerobohinya".

Nabi S.A.W bersabda lagi yang bermaksud : "Tinggalkan apa yang meragui engkau kepada apa yang tidak meragui engkau".

Dalam hubungi ini Nabi S.A.W secara amalinya telah mendidik umat Islam dimana satu masa baginda terjumpa sebiji tamar di tengah jalan dan baginda enggan memakannya sambil Baginda bersabda yang bermaksud : "Kalaulah tidak aku bimbang bahawa tamar ini daripada tamar zakat sudah pasti aku memakannya".

Atas prinsip inilah umat Islam terdahulu telah berpegang dalam tindakan mereka. Mereka sentiasa memeriksa dan mengenal pasti tentang semua perkara yang berkaitan dengan penghidupan mereka yang melibatkan makanan, minuman, pakaian, kenderan dan lain-lain.

Apabila mereka mendapati sesuatu yang meragukan atau keraguannya di tahap yang paling rendah tahap syubhah, mereka akan terus meninggalkannya, kerana mereka bimbang terlibat dengan perkara yang haram.

Bila terlibat dengan perkara haram maka hati mereka akan rosak. Mereka akan terhalang dari melakukan ibadat atau amal ibadat yang dilakukan tidak akan diterima oleh Allah S.W.T.

Saiyidatuna Aishah R.A.H menceritakan : "Bapaku Abu Bakar al Siddiq r.a mempunyai seorang hamba yang telah menerima satu pemberian (upah tilik). Satu hari dia telah membawa makanan lalu Abu Bakar memakannya, lantas hamba tadi bertanya; Adakah tuan tahu benda yang tuan makan itu? Abu Bakar berkata: Apa dia? Maka hamba itu berkata: Semasa aku berada dalam jahiliah, aku telah melakukan nujum untuk seorang dan aku bukan tukang nujum yang baik tetapi aku menipunya. Kemudian dia terjumpa aku, dia telah memberi barang ini yang engkau makan. Maka terus Abu Bakar menjolok jarinya ke dalam mulut dan memuntahkan segala apa yang ada dalam perutnya"

7) PENUMPUAN AMILIN HANYA PADA SUDUT TERTENTU DALAM AJARAN ISLAM

Terdapat sebahagian amilin yang menekan sudut tertentu dari ajaran Islam dan menolak sebahagian yang lain, umpamanya dia lebih menumpukan perhatian kepada persoalan akidah semata-mata atau meninggalkan yang lain atau ia bagitu mengutamakan dengan perkara yang berkaitan syiar ta'abuddiyyah dengan menolak sebahagian yang lainya. Atau menumpukan usaha kepada amal khairat dan tata susila kemasyarakatan dengan mengenepikan sudut- sudut lain dari ajaran agama.

Mereka dan orang-orang seumpamanya lambat laun pasti bertembung dengan al Futur. Dan ini adalah perkara biasa berdasarkan bahawa hakikat agama Allah ini mencakupi semua aspek penghidupan. Apabila mana-mana orang memilih sebahagian saja dari ajaran Islam, maka tindakannya itu umpamakan seperti ia ingin menghayati sebahagian kehidupan bukan semua penghidupan. Apabila penghayatan Islam secara ini sampai kepada kemuncaknya, maka mereka sendiri akan tertanya-tanya apakah yang perlu dilakukan selepas itu. Maka ia tidak memperolehi jawapan yang dicari, kecuali al Futur. Sama ada ia akan lemah atau malas. Keadaan ini berlaku adalah berpunca dari sikap mereka yang tidak menghayati Islam dalam bentuk yang syumul dan menyeluruh.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : "Wahai orang orang yang beriman masuklah Islam secara keseluruhan dan jangan mengikut jejak syaitan sesungguhnya syaitan bagi kamu adalah musuh yang nyata" [al Baqarah:208]

Ayat di atas memberi arahan supaya dilaksanakan semua syariat Allah dan kesemua cabang iman dan jangan sama sekali mengikut kehendak syaitan kerana ianya mendorongkan kepada permusuhan dan perseteruan di samping ianya juga memesongkan manusia dari manhaj Allah sama ada secara keseluruhan atau sebahagiannya yang kesudahanya kamu akan ditimpa al Futur dan kecundang.

8) GAGAL MEMAHAMI SUNNATULLAH

Sebahagian dari amilin yang berkerja di jalan Allah begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk mengubah suasana masyarakat secara drastik, sama ada yang berhubung dengan pemikiran, adat resam, akhlak, sistem masyarakat, politik, ekonomi dengan pendekatan dan cara yang tidak berpijak di alam nyata, tanpa memahami realiti yang dihadapi. Mereka melakukannya dengan begitu berani dan sanggup mengorbankan apa saja. Mereka tidak mengindahkan pengorbanan yang dilakukan sekali pun mahal dan mereka tidak gentar kehilangan nyawa sama ada dicari atau mencari tanpa membuat perhitungan dan penilaian ke atas kesan yang akan diperolehi. Bagi mereka apa yang penting ialah asalkan niat yang dilakukan kerana meninggikan kalimah Allah adalah sudah cukup untuk menjustifikasikan apa yang dilakukan tanpa mengambil kira tentang peraturan alam dan penghidupan. Adapun sunnatullah bagi alam dan penghidupan ianya perlu dilakukan sesuatu pekerjaan itu secara bertahap. Sunnatullah meletakkan kemenangan diberi kepada mereka yang paling bertaqwa dan kalau tidak yang bertaqwa kepada yang paling kuat. Dan setiap sesuatu itu telah ditentukan masa yang tidak mungkin didahulukan atau di kemudiankan. Apabila mereka berhadapan dengan realiti tindakan mereka itu tidak menepati dengan apa yang dicita dan diharapkam. Lantaran itu berlakulah al Futur dalam gerak kerja mereka sama ada dalam bentuk malas, atau melengah-lengahkan atau berhenti terus daripada melakukan kerja.

9) MENGABAIKAN HAK TUBUH BADAN

Kita dapati sebahagian dari amilin Islam mengorbankan tenaga, harta benda juga masa mereka dalam memberi khidmat kepada agama Islam. Mereka tidak mengambil kisah tentang kerehatan dan kesihatan diri. Sikap yang demikian walaupun ianya perlu dilakukan disebabkan bebanan dan tugas yang banyak serta kekurangan tenaga kerja, lama kelamaan mereka akan tidak mampu meneruskan kerja tadi kerana kelemahan tubuh badan mereka sendiri.

Kemungkinan di sini rahsianya kenapa Nabi S.A.W sentiasa menegaskan tentang memberi hak ke atas tubuh badan sekalipun terdapat berbagai alasan.

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya kepada Tuhan kamu hendaklah diberi hak dan sesungguhnya kepada diri kamu hendaklah diberi hak dan kepada keluarga kamu hendaklah diberi hak, maka berilah hak kepada mereka yang mempunyai haknya".

Dalam riwayat yang lain Nabi S.A.W bersabda : "Sesungguhnya kepada tubuh badan kamu hendaklah kamu memberi hak dan sesungguhnya pada mata kamu hendaklah kamu memberi hak dan sesungguhnya kepada isteri kamu hendaklah kamu memberi hak dan sesungguhnya pada tetamu kamu hendaklah memberikan haknya".

10) TIDAK BERSEDIA DALAM PERJUANGAN

Kita dapati sebahagian amilin melibatkan diri di dalam perjuangan. memulakan gerak langkah tanpa mengambil kira cabaran halangan yang akan dihadapi. Kadangkala halangan akan datang dari kalangan isteri, anak-anak dan keluarga dan godaan dunia, juga tekanan dan ujian dalam bentuk kesusahan, ugutan dan lain-lain. Apabila mereka tidak bersedia untuk menghadapi semuanya ini, maka berkemungkinan perkara tadi akan berlaku dalam pergerakan. Semasa bertembung dengan suasana yang demikian, mereka gagal mengatasinya, apatah lagi mereka tidak membuat perhitungan dari awal-awal lagi. Mereka sudah pasti akan patah di pertengahan jalan. Ekoran dari itu mulalah mereka tidak aktif, dan malas untuk turut serta di dalam amal jamaah dan yang lebih malang lagi, mereka akan meninggalkan perjuangan yang diceburinya selama ini.

Di sinilah rahsianya kenapa al Quran memberi amaran dan ingatan berkali-kali. Firman Allah S.W.T yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman sesungguhnya di kalangan isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu adalah musuh kamu maka beringatlah kamu dengan mereka dan sekiranya kamu mengampun dan memaafkan mereka maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Sesungguhnya harta-harta kamu dan anak-pinak kamu adalah fitnah, hanya kepada Allah (kamu perolehi) sebesar-besar ganjaran" [al Taghabun:14-15]

Firman Allah S.W.T lagi : "Ketahuilah harta kamu dan anak-anak kamu adalah fitnah" [Al Anfaal:28]

"Allah sekali-kali tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini. Sehingga dia menyisihkan yang buruk (munafik) dari yang baik (Mukmin)" [Ali Imran:179]

Firman Allah lagi yang bermaksud : "Alif laam miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan - kami telah beriman - sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar beriman dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta" [al Ankabut: 1 -3]

"Dan demi sesungguhnya kami tetap menguji  dari kalangan kamu sehingga ternyata pengetahuan kami tentang adanya orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang yang bersabar dan sehingga kami dapat menyaksikan berita-berita tentang kamu" [Muhammad:31]

11) MENDAMPINGI GOLONGAN YANG TIDAK BERJIWA BESAR

Kadangkala para amilin mendampingi golongan yang masyhur (popular) dan ternama. Apabila ia mendampingi dan sentiasa bersama mereka, ia akan melihat betapa kosongnya penghidupan golongan ini dalam konteks perjuangan. Mereka boleh diibaratkan seperti gendang kosong. Sekiranya ia terus bersama mereka sudah pasti ia akan dijangkiti penyakit golongan tadi seperti mana orang sihat dijangkiti penyakit kurap. Dalam ertikata yang lain mereka akan menjadi al Futur.

Mungkin di sinilah rahsia kenapa Nabi S.A.W menekankan betapa perlunya memilih teman yang baik.

Sabda Rasulullah S.A.W : "Seseorang itu mengikut deen (cara hidup) sahabatnya maka hendaklah salah seorang dari kamu melihat dengan siapa ia bersahabat".

Sabda Baginda lagi : "Bandingan mereka yang bergaul dengan orang yang baik dan  bergaul dengan orang yang jahat adalah seperti mereka yang mendampingi penjual minyak wangi dan mendampingi tukang besi. Mendampingi penjual minyak wangi kamu mungkin dihadihkan minyak wangi atau kamu akan membeli darinya atau sekurang- kurang kamu mendapat baunya. Mendampingi tukang  besi mungkin percikan api akan membakar pakaian kamu atau sekurang kurangnya kamu akan menghidu bau hangit dari bakaran besi". 

12) SAMBIL LEWA MENJALANKAN TUGAS

Terdapat ramai di kalangan amilin sama ada di peringkat individu atau di peringkat organisasi secara keseluruhannya bila menjalankan tugas untuk agama Allah, mereka lakukanya secara sambil lewa, di mana mereka mengenepikan manhaj amal dan tidak bersistematik.

Kadangkala mereka memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang kurang penting ke atas perkara pokok yang lebih penting dan utama. Padahal perkara pokok sepatutnya diutamakan supaya ia dengan itu agama Allah dapat ditegak dan didaulatkan. Sikap sambil lewa ini akan melambatkan kerja-kerja kita bahkan kita terpaksa menanggung bebanan dan pengorbanan yang banyak. Keadaan yang timbul hasil dari sikap di atas kebiasanya akan menjadikan seseorang itu malas dan terhenti (al Futur) dari meneruskan kerja jama'ie, kecualilah dengan kehendak dan pertolongan Allah untuk mereka terus bergerak.

Di sini bolehlah kita fahami tentang hikmah dan rahsia disebalik sabda Nabi S.A.W dalam wasiat baginda kepada Muaz bin Jabal semasa baginda mengutuskannya ke Yaman, di antara sabda Baginda ialah : "Sesungguhnya engkau akan pergi ke satu kaum yang terdiri dari ahli kitab. Maka serulah mereka kepada syahadah, bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan sesungguhnya aku adalah Rasul Allah. Sekiranya mereka mentaati engkau (melafazkan syahadah) maka terangkanlah kepada mereka bahawa Allah memfardhukan zakat ke atas mereka di mana ianya diambil dari orang kaya dikalangan mereka untuk diagihkan kepada golongan fakir dikalangan mereka, sekiranya mereka mentaati engkau (mengeluarkan zakat) maka hendaklah engkau mengelakkan diri dari hanya mengambil harta yang mereka sayangi, dan takutlah kamu dengan doa orang yang dizalimi. Maka sesungguhnya tidak ada dinding di antara doa orang yang dizalimi dengan Allah".

Hadis di atas merupakan kaedah pokok di dalam manhaj perjuangan juga merupakan bentuk tatacara dan kualiti amal jama'ie yang perlu dihayati.

13) TERLIBAT DALAM PERKARA MAKSIAT

Mana-mana amilin yang terlibat dengan perkara di atas sudah pasti ianya akan berakhir dengan terhenti (Al Futur) dari meneruskan perjuangan. Firman Allah yang bermaksud  :"Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri. Dan Allah memaafkan sebahagian besar dari kesalahan-kesalahan kamu" [As Syura:30]

Amaran tentang perkara ini dapat difahami oleh Hadith berikut yang bermaksud : "Hendaklah kamu berjaga-jaga dari melakukan dosa-dosa kecil. Sesungguhnya dosa-dosa kecil akan berlonggok di atas seseorang hingga ia membinasakannya. Sesungguhnya Rasulullah S.A.W membuat bandingan terhadap mereka yang melakukan dosa-dosa kecil seperti mana satu kaum yang singgah di tanah lapang (kawasan Badawi) maka mereka menghadiri jamuan yang diadakan. Maka ada beberapa orang dari kalangan mereka keluar mencari kayu dan membawanya kembali. Kayu -kayu tadi dikumpul menjadi longgokan yang besar lalu mereka menyalakan api dan memasakkan makanan apa yang mereka panggang padanya".

Nabi S.A.W bersabda lagi yang bermaksud : "Seseorang Mukmin apabila melakukan dosa maka berlakulah satu titik hitam dalam hatinya. Apabila ia bertaubat dan meninggalkan dosa serta beristigfar, maka bersihlah hatinya. Dan sebaliknya jika ia menambahkan lagi dosa, maka akan bertambahlah titik hitam sehingga meliputi hatinya".

Maka yang demikian itu dikatakan al Raan seperti yang difirmankan Allah S.W.T yang bermaksud : "Sebenarnya ayat-ayat itu tidak ada cacatnya bahkan mata hati mereka diselaputi kekotoran (dosa) dengan sebab perlakuan (kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan". [al Mutaffifin:14]

- Terjemahan dari kitab Afat 'ala Toriq karangan Dr. Sayid Mohamad Nuh

0 comments: